Bola Sepak

MUFC perlu keluar zon bahaya


Gandingan tiga pemain import MUFC mula mempamerkan impak.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

“KAMI perlu tiga mata untuk keluar dari zon bahaya”, tegas pengendali Melaka United FC (MUFC), Zainal Abidin Hassan menjelang aksi getir menentang Terengganu FC, di Stadium Hang Jebat, Melaka malam ini.

Membawa pulang satu mata pada aksi menentang Sri Pahang FC, Ahad lalu, kini cabaran seterusnya perlu dihadapi MUFC  yang ketika ini berada dalam zon bahaya bersama Sri Pahang FC dan juga Perak FC.

Bagi Zainal, mereka perlu menang untuk keluar dari kelompok penyingkiran pada baki saingan Liga Super 2021.

“Main ditempat sendiri, kami perlu menang, keluar dari zon bahaya dan kutip mata,” tegasnya.

Pada masa sama, Zainal mengakui pemain importnya masih belum mendapat keserasian yang jitu namun telah mula memberikan impak buat pasukan.

“Memang mereka berdua masih belum serasi dengan rakan sepasukan, tetapi ada perubahan. Jadi aksi malam ini kita harapkan semua pemain dapat mempertingkatkan prestasi,” katanya.

MUFC membawa masuk dua pemain import baharu dari Brazil, Giovane Gomes da Silva dan Adriano Aparecido Narcizo bersama pasukan pada jendela perpindahan sebelum ini bagi memantapkan pasukan khususnya dibahagian hadapan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: