
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora memuji semangat barisan pemainnya yang bangkit meraih kemenangan 3-1 ke atas UiTM FC, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Baginya kemenangan 3-1 ke atas UiTM FC juga cukup berharga meskipun mereka ketinggalan lebih awal apabila lawan berjaya menjaringkan gol pertama pada minit 43.
“Pada awal perlawanan, malangnya perkara yang saya tidak mahu berlaku di mana lawan berjaya menjaringkan gol pertama.
“Saya boleh katakan UiTM FC melakukan tugas yang cukup baik, mereka benar-benar berjuang untuk mencari peluang menambah jaringan.
“Tetapi, apa yang penting adalah bagaimana pemain saya melakukan kebangkitan dan mereka menunjukkan bahawa mereka tahu apa tugas yang perlu dilakukan untuk kembali berada di depan dan menang perlawanan ini”, katanya.

Sementara itu, pengendali UiTM FC, Frank Bernhardt jelas kecewa dengan kualiti permainan barisan pemainnya selepas terpaksa akur tewas walaupun berjaya mendahului lawan pada separuh masa pertama.
“Bersambung pada babak kedua, pemain saya seolah-olah terpaku dengan corak permainan pantas yang dipamerkan JDT. Mereka hilang konsentrasi sehingga membuka ruang buat lawan menjaringkan gol.
“Kami turun dengan barisan agak tempang selepas beberapa pemain utama mengalami kecederaan dan menurunkan pemain bawah 21 tahun yang tampak bermain dengan baik tapi ia tidak bertahan lama dan kami dihukum dengan kekalahan.
“Memang kami tahu untuk menang ke atas JDT begitu sukar tapi kami mampu beri tekanan kepada pasukan lawan yang tampak bergelut untuk beraksi dengan lebih konsisten tapi kami mampu beri tentangan hanya pada babak pertama.
“Babak kedua, kami bagaikan tidak mampu bertahan lagi dan beberapa kesilapan mudah memberi ruang buat JDT mudah menghukum kami,” katanya.








Add Comment