Bola Sepak

JDT cemas seketika, SPFC sia-siakan peluang

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Safawi meraikan jaringan gol kedua buat JDT membantu kemenangan 3-1 ke atas Uitm FC.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

JUARA tujuh kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) cemas seketika sebelum bangkit pada separuh masa kedua untuk mengatasi UiTM FC, 3-1 pada aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri , Johor sebentar tadi.

Gonzalo Cabrera,  Safawi Rasid dan Bergson da Silva masing-masing meledak satu gol pada babak kedua nyata memadam kelebihan gol pelawat yang dijaringkan, Joel Vinicius.

Pada aksi yang berlangsung sebentar tadi, Uitm FC nyata berjaya memberi saingan buat tuan rumah dan mereka berada didepan pada penghujung babak pertama melalui pemain import baharu, Joel Vinicius untuk menewaskan Farizal Marlias.

Memasuki babak kedua, tuan rumah nyata mempamerkan aksi berbeza dan tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan Cabrera pada minit ke-50.

Safawi Rasid yang masuk sebagai pemain gantian menambahkan kecerian buat Harimau Selatan apabila dia meledak gol kedua buat pasukan pada minit ke-73 sebelum Bergson memastikan kemenangan mutlak hasil jaringan ketiga pada minit ke 88.

Kemenangan ini membolehkan JDT menjarakkan mata dan kekal di tangga teratas liga selepas mengumpul 33 mata dan diekori rapat Terengganu FC (TFC) yang berada di tangga kedua selepas mengutip 30 mata.

Pergerakan penyerang import SPFC, Ang Kaung Mann disekat pertahanan lawan.

SEMENTARA itu, Sri Pahang FC mensia-siakan kelebihan jaringan awal melalui pemain importnya, Manuel Hidalgo apabila diikat seri 1-1 ketika melayan kunjungan Melaka United FC (MUFC) di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Tuan rumah berada didepan seawal minit pertama apabila Hidalgo menyempurnakan hantaran lintang rakan sepasukan untuk menanduk masuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat selaku benteng terakhir MUFC.

Permainan yang rancak dipamerkan kedua-dua pasukan dengan beberapa percubaan menarik berjaya dinafikan penjaga gawang kedua-dua pasukan untuk beredar ke bilik persalinan dengan tuan rumah mendahului pelawat 1-0.

Masalah lampu limpah stadium yang tidak berfungsi sepenuhnya menyebabkan perlawanan separuh masa kedua dihentikan hampir 10 minit namun ia tidak merencatkan corak permainan menarik dipamerkan kedua-dua pasukan.

Tok Gajah seharusnya mendahului pelawat buat kali kedua apabila dihadiahkan sepakan penalti, namun Mark Goulon gagal menyempurnakan sepakan tersebut untuk menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke 79.

Usaha berterusan pelawat memburu gol penyamaan akhirnya berhasil melalui pemain gantian yang juga bekas pemain Sri Pahang FC, Wan Zaharulnizam pada minit ke-96 dan keputusan seri 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: