Bola Sepak

FAM harap MKN, KKM beri peluang bincang anjur perlawanan persahabatan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Stuart Ramalingam

Oleh: SURYATI MOHD NOR

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar memberi peluang untuk berbincang kertas cadangan penganjuran dua perlawanan antarabangsa membabitkan skuad Harimau Malaya secara gelembung bioperubatan di negara ini pada awal September 2021.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata, FAM telah membuat permohonan kepada MKN dan KKM menerusi KBS untuk melakukan pembentangan sendiri kepada MKN dan KKM.

“Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) juga juga telah bersetuju untuk bekerjasama dan membantu FAM dalam pengendalian operasi dua perlawanan antarabangsa secara gelembung bioperubatan pada September itu nanti.

“Bagi memperkukuhkan lagi fakta dan hujah bagi kertas cadangan penganjuran perlawanan antarabangsa ini, FAM turut telah mendapat persetujuan daripada AFC yang akan bersama-sama membantu FAM dalam mesyuarat MKN itu nanti yang mana wakil dari AFC akan berkongsi butiran SOP, fakta dan pengalaman mereka sepanjang penganjuran perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan juga perlawanan ACL secara gelembung bioperubatan di beberapa negara lain.

Skuad Harimau Malaya merancang untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan September ini.

“FAM yakin kertas cadangan dan perincian SOP yang dibuat bagi penganjuran perlawanan antarabangsa secara gelembung bioperubatan ini akan dapat diluluskan oleh pihak MKN dan KKM kerana ia dibuat dengan mengambil kira SOP secara teliti dalam semua aspek keselamatan dan kesihatan bagi pasukan kebangsaan dan juga pasukan lawan yang akan hadir ke negara ini,” jelasnya pada Ahad.

Sementara itu, FAM juga berharap agar pihak MKN dan KKM lebih terbuka untuk membincangkan hal ini secara praktikal dengan FAM dan AFC memandangkan SOP dan gelembung bioperubatan ini telah dilaksanakan dan terbukti berkesan di peringkat global dan bukannya sesuatu yang belum diuji.

“FAM sama sekali tidak mahu mengambil risiko ke atas keselamatan pemain, pegawai serta seluruh rakyat Malaysia dan FAM yakin gelembung bioperubatan ini dapat dilaksanakan dengan cara yang selamat dan terjamin untuk keselamatan semua pihak yang terlibat kerana ia telah pun terbukti berkesan di peringkat global.”

Tiga pasukan yang dalam pertimbangan FAM bagi dua perlawanan antarabangsa pada jendela Fifa dari 30 Ogos hingga 7 September 2021 itu ialah pasukan Palestin (ranking 104), India (ranking 105) dan Chinese Taipei (ranking 141).


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: