IMPIAN gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean melangkah ke suku akhir beregu wanita Sukan Olimpik, kian berliku selepas tewas aksi pertama Kumpulan A, hari ini.
Mei Kuan-Meng Yean yang tampil kali pertama di temasya sukan terbesar dunia ini, tewas 14-21, 17-21 kepada pasangan nombor enam dunia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu.
Sebaliknya, gandingan lawan itu berjaya menghentikan rentetan kekalahan pada dua pertemuan terakhir mereka Januari lalu, kepada Mei Kuan-Meng Yean untuk mencatat rekod pertemuan 3-2 yang berpihak kepada mereka.
Pasangan negara kini berdepan tugas berat untuk memenangi dua aksi seterusnya dalam kumpulan mereka, bagi mendapat tempat ke suku akhir.
Lawan yang menanti adalah pilihan utama, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dari Jepun dan pasangan England, Chloe Birch-Lauren Smith.
Mei Kuan-Meng Yean belum pernah menang ke atas kedua-dua pasangan itu, dengan pasangan Jepun itu memegang rekod pertemuan 6-0 manakala Birch-Smith menang dalam pertemuan sulung mereka.
Add Comment