Basikal

Pogacar kuasai Tour de France


Tadej Pogacar menyarung jersi kuning dalam 21 peringkat perlumbaan Tour de France . Foto: Reuters

PELUMBA UAE Team Emirates dari Slovenia, Tadej Pogacar berjaya muncul juara keseluruhan perlumbaan basikal Tour de France sekaligus mempertahankan jersi kuning berprestij buat kali kedua berturut-turut.

Pogacar, 23 tahun menguasai persaingan dengan menamatkan perlumbaan 21 peringkat ini dengan catatan mata keseluruhan 82 jam 56 minit dan 36 saat mengatasi Jonas Vingegaard dari pasukan Jumbo-Visma 5 minit 20 saat dibelakang.

Peringkat ke-21 dari Chatou ke Paris dengan jarak 108.4km menyaksikan pelumba Jumbo- Visma, Wout Van Aert muncul juara sekaligus menggagalkan peluang Mark Cavendish untuk mencari kemenangan peringkat ke-35 untuk muncul pemenang peringkat terbanyak Tour De France.

Bagaimana pun Cavendish berjaya merampas jersi hijau selaku Raja Pecut manakala jersi polka dot sebagai Raja Bukit dan jersi putih mewakili pelumba muda terbaik menjadi milik Pogacar.

Perlumbaan kali ini yang bermula di Brest, barat Perancis dan berakhir di Paris memperlihatkan seramai 228 pelumba dari 23 pasukan mengambil bahagian dalam perlumbaan Pro Tour kali ke 108 ini.

Pasukan Bahrain Victorious muncul juara keseluruhan pasukan dengan catatan masa 241 jam, 17 minit dan 56 saat mengatasi pasukan EF Education Nippo 19 minit dibelakang.

Pogacar turut mencatat rekod baharu apabila muncul pelumba termuda menjadi juara Tour de France dua kali berturut-turut hanya pada umur 23 tahun.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: