Bola Sepak

Sarawak United FC siap sedia benam Selangor FC 2


Sarawak United mencatatkan keputusan seri 2-2 pada aksi persahabatan menentang KL City FC.

SARAWAK United FC memanfaatkan sepenuhnya perlawanan persahabatan menentang  Kuala Lumpur City FC untuk menilai kualiti kemampuan barisan pemainnya dalam kembali mengharungi saingan Liga Premier menentang Selangor FC 2, esok.

Ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan berkata, banyak kelemahan yang perlu diperbaiki selepas berakhir aksi persahabatan berdepan Kuala Lumpur City FC di mana punca utama adalah daripada aspek kecergasan apabila sudah lama tidak mengharungi perlawanan sebenar sejak Liga Malaysia berehat pada Mei lalu.

Justeru, tempoh lima hari yang ada sejurus berakhir perlawanan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk beliau melakukan beberapa perubahan sebelum berdepan aksi sebenar esok di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Elavarasan juga mengakui menentang Selangor FC 2 pastinya tidak mudah dan ia akan menjadi pertarungan yang sukar dijangka apatah lagi selepas dengan rombakan pemain yang dilakukan oleh semua pasukan ketika ini.

“Disebabkan kita sekarang pun berlatih dalam Camp Based dan berada dalam gelembung sukan, jadi memang banyak kita boleh nilai dekat mana kelemahan memandangkan kami semua tinggal sama-sama.

“Kita pula hanya sempat merancang satu perlawanan persahabatan sahaja pada Isnin lalu, dan selepas itu hanya ada masa lima hari untuk perbaiki balik kekurangan yang ada selepas aksi tersebut.

“Bagi saya, pemain-pemain masih belum bersedia sangat ketika menentang Kuala Lumpur, jadi banyak yang saya perlu ubah untuk berdepan aksi esok petang.

“Selangor 2 juga bukan pasukan yang mudah dan kita perlu waspada dengan pemain-pemain muda yang mereka ada”, jelasnya.

Perlawanan persahabatan tersebut menyaksikan pasukan ini seri 2-2 dengan Kuala Lumpur.

Kedudukan terkini menyaksikan mereka berada di tangga teratas dengan 23 mata diikuti Negeri Sembilan FC di tempat kedua manakala Terengganu FC II di kedudukan ketiga.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: