Bola Sepak

Liga M tarik 21 juta tontonan


LIGA Super musim 2021 masih memiliki tarikan tersendiri apabila sejumlah 21,814,979 penonton menyaksikan perlawanan siaran langsung disiarkan menerusi tiga platform iaitu Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 (menerusi Set-Top-Box Unifi).

Jumlah tontonan itu melibatkan siaran langsung perlawanan bermula aksi pertama Liga Super, 5 Mac lepas sehingga perlawanan ke-13 pada 9 Mei sebelum saingan liga berehat dan akan kembali bersambung pada 24 Julai.

Turut menarik perhatian adalah rekod tontonan perlawanan di unifi Youtube yang direkodkan sehingga 30 Mei 2021 iaitu 49,838,140.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata, nilai statistik jumlah tontonan itu membuktikan Liga Super masih kekal sebagai rancangan sukan nombor satu kegemaran negara.

Katanya, potensi jumlah tontonan masih berupaya dipertingkatkan selaras minat rakyat terhadap sukan bola sepak pada masa akan datang.

Beliau berkata MFL menghargai setiap pandangan khusus daripada penyokong bola sepak tempatan yang sentiasa memberikan sokongan teguh kepada industri bola sepak tatkala negara masih berdepan detik sukar dalam era pandemik COVID-19.

“MFL amat terharu dengan sambutan diberikan oleh peminat bola sepak tanah air. Teruskan menyokong bola sepak kita, Liga Malaysia (Liga-M) liga kita.

“Kita berharap penularan wabak COVID-19 dapat dikawal dengan baik serta lebih ramai rakyat Malaysia mendapat suntikan vaksin agar penonton kembali mendapat kebenaran untuk hadir ke stadium dalam masa terdekat,” katanya.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: