Lain-Lain

Sukan Olimpik: Tiga individu diuji positif Covid-19 sejurus tiba di Tokyo

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Jepun menjalankan ujian saringan Covid-19 yang ketat.

HANYA tiga daripada lebih 8,000 individu yang tiba di Jepun dari 1 hingga 13 Julai lalu untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo diuji positif Covid-19, menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

IOC dalam satu kenyataan Rabu menyebut, perkara itu dimaklumkan oleh Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dengan ketiga-tiga individu terbabit diuji positif sejurus tiba dan mereka segera diasingkan manakala kontak rapat dikuarantin.

Katanya, semua individu adalah tertakluk kepada rejim ujian saringan Tokyo 2020 dan sudah menjalani ujian praperlepasan serta pemeriksaan kesihatan.

“Semua atlet dan pegawai yang terbabit dalam temasya itu, yang dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos, perlu menjalani ujian harian selama tiga hari berturut-turut sebelum berlepas dan ujian harian bagi atlet serta kontak rapat sejurus tiba di Tokyo,” katanya.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan dua anggota delegasi Olimpik dari Uganda bulan lalu dan seorang anggota pasukan mendayung Serbia pada awal bulan ini, didapati positif koronavirus sejurus tiba di Tokyo.

Terdahulu, Presiden IOC, Thomas Bach, yang bertemu Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga, menzahirkan setinggi-tinggi penghormatan dan penghargaan kepada kerajaan serta rakyat Jepun.

“Atlet dari seluruh dunia kini tiba di Tokyo. Temasya ini akan menyatukan dunia dalam semua kepelbagaian kita. Mereka akan membuktikan bahawa kita lebih kuat jika bersama-sama dalam semua solidariti kita,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Bach berkata jawatankuasa penganjur sudah melakukan tugas yang hebat dalam melakukan persiapan bagi temasya sukan itu dan menjadikan Tokyo sebagai bandar terbaik Olimpik dari segi persediaan.

Menurutnya, 85 peratus daripada atlet serta pegawai akan tinggal di Perkampungan Olimpik manakala hampir 100 peratus anggota IOC serta kakitangannya sama ada telah divaksin atau imun.

Katanya, bagi wakil media antarabangsa, kadar mereka yang telah divaksin ialah sekitar 70 hingga 80 peratus. -Bernama


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: