Lain-Lain

ISN bekalkan pek makanan Nutrimas untuk kontinjen negara di Tokyo

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Pelbagai jenis makanan yang disediakan khas untuk atlet-atlet negara di Tokyo.

KONTINJEN negara yang bakal beraksi di Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020, tidak perlu untuk merindui makanan Malaysia dan risau mengenai makanan halal, apabila Institut Sukan Negara (ISN) berjaya menghasilkan produk sedia dimakan (ready-to-eat meals) berjenama Nutrimas.

Makanan cita rasa Malaysia melalui ‘pack food’ berteknologi tinggi itu, dibangunkan melalui syarikat subsidiari milikan majoriti ISN, International Sports Nutrione Sdn Bhd (ISNOne).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ISN akan membekalkan 1,200 pek kepada kontinjen negara, sepanjang tempoh mereka di Tokyo.

Pek makanan Nutrimas yang disediakan mengikut spesifikasi dan keperluan diet atlet semasa pertandingan, terdiri daripada enam sajian tempatan – nasi goreng cina, nasi goreng cendawan, nasi goreng ikan masin, nasi goreng tom yam, nasi briyani ayam dan nasi briyani kambing.

“Usaha ISN menerajui makanan kesihatan yang bakal memenuhi kualiti antarabangsa, khusus bagi atlet-atlet negara. Pakar nutrisi, dietician ISN, bersama para atlet negara, telah terlibat dalam penghasilan ini, yang dapat menjaga kualiti pemakanan mereka, sepanjang berada di Tokyo nanti.

“Selamat maju jaya kepada ISN, dalam usaha mengembangkan penyediaan produk pemakanan kepada seluruh industri sukan di Malaysia, dan tentulah kepada pasaran terbuka suatu hari nanti, ” jelasnya.

Nutrimas dibangunkan menggunakan teknologi terbaharu dan proses yang teliti bagi menjamin kesegaran, keselamatan, dan kelazatan makanan serta menepati tahap piawaian yang diluluskan oleh Brand Reputation Consortium Global Standards (BRCGS).

“Di samping memenuhi citarasa selera tempatan, sajian Nutrimas mempunyai kandungan protein yang lebih tinggi berbanding karbohidrat, dengan penggunaan perasa seperti garam dan gula yang minimum serta mempunyai pensijilan halal JAKIM untuk setiap proses di dalam produksi,” tambahnya Reezal.

BRCGS merupakan sebuah Institusi Piawaian Produk Antarabangsa berpangkalan di London, United Kingdom. Sebarang produk makanan yang memiliki sijil BRCGS, membolehkan produk tersebut dieksport ke luar negara terutamanya ke Eropah, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Seramai 30 atlet negara bakal beraksi di Sukan Olimpik bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini, dan lebih kurang 31 atlet dijangka layak ke Paralimpik yang dijadualkan bermula 24 Ogos hingga 5 September.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: