Lain-Lain

SAM sumbang pek makanan untuk 16 ahli bertugas di Olimpik Tokyo


Sebahagian daripada 16 ahli SAM menerima sumbangan pek makanan.

PERSATUAN Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)  telah menyampaikan sumbangan pek makanan kepada 16 orang ahlinya yang akan bertugas membuat liputan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo yang dijadualkan bermula minggu depan.

Sumbangan tersebut adalah sebagai tanda keprihatinan SAM terhadap ahli-ahlinya yang dijangka berdepan kesukaran untuk bergerak bagi mencari makanan ketika berlangsungnya temasya sukan terbesar dunia itu nanti berdasarkan situasi pandemik Covid-19 ketika ini.

Menyedari kemungkinan masalah pergerakan terhad dan terkawal akan berlaku di Tokyo nanti, SAM telah menyediakan bekalan makanan kepada ahli-ahlinya, sekali gus dapat membantu melancarkan urusan tugasan mereka yang mencabar dalam temasya sukan antarabangsa terbesar itu nanti.

Pek makanan diserahkan kepada wakil media SAM yang akan bertugas di Tokyo.

Sumbangan pek makanan tersebut berupa makanan serta minuman segera dan ia mudah dan cepat untuk disediakan.

SAM juga telah berhubung dengan pihak urusetia temasya Sukan Olimpik berkenaan jenis makanan yang dibenarkan untuk dibawa masuk ke negara matahari terbit itu.

“Walaupun ia sekadar sumbangan kecil, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu ahli-ahli SAM yang mungkin berdepan kesukaran untuk mencari bekalan makanan sepanjang di Tokyo nanti.

“SAM berharap agar sumbangan tersebut dapat membantu mereka menjalankan tugas dengan lancar, sekali gus mengurangkan rasa bimbang untuk mencari bekalan makanan ketika menjalankan tanggungjawab dalam situasi sukar seperti ini,” jelas Setiausaha Agung SAM, Asan Ahad dalam satu kenyataan pada Khamis.

Asan menyerahkan pek makanan kepada wakil ahli SAM.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada beberapa individu yang telah sudi tampil sebagai penyumbang pek makanan kepada ahli-ahli SAM yang akan bertugas di Tokyo nanti.

“Terima kasih juga kepada presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk S. M. Muthu, Hairuddin Omar, Safe Aim Mutual Sn Bhd serta Shekinah PR dan berharap kerjasama seperti ini terus terjalin kukuh.”


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: