Bola Sepak

MUFC giat bentuk persefahaman dan taktikal


Barisan pemain MUFC gigih menjalani latihan menjelang kembalinya saingan Liga Super 25 Julai nanti.

MENJELANG pertembungan Melaka United FC menentang Sri Pahang FC selepas saingan berehat panjang, skuad Sang Kancil dijangka tampil dengan lebih bertenaga serta berbeza untuk terus memberikan saingan.

Anak didik Zainal Abidin Hassan yang kini sedang menjalani Kem Latihan Berpusat 2.0 Melaka United FC di Stadium Hang Jebat giat memupuk keserasian dan kecergasan serta taktikal untuk aksi menentang Tok Gajah di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 25 Julai nanti.

Kehadiran dua import baharu dari Brazil, Giovane Gomes da Silva dan Adriano Aperecido Narcizo pastinya menjadi pertaruhan Melaka United (MU) di bahagian serangan selain penyertaan bekas pemain JDT, Gary Steven Robbart secara pinjaman.

Bagi Zainal Abidin pasukan kini giat menjalani latihan membentuk keserasian dan tahap kecergasan dikalangan pemain.

“Tempoh latihan secara berpusat ini kami memperkemaskan corak permainan dan persefahaman terutamanya dengan kehadiran Giovane dan Adriano serta Gary.

“Segalanya berjalan lancar dan rata-rata pemain bersedia untuk memulakan kembali saingan Liga Super,”ujarnya dipetik melalui FB MelakaUnitedFCofficial.

Sementara itu, penjaga gawang utama pasukan, Khairul Fahmi Che Mat pula menyifatkan ketika ini dia dan rakan-rakan giat memperbaiki mutu permainan dan memupuk persefahaman.

“Pastinya akan ada lagi latihan-latihan yang akan diterapkan jurulatih terutamanya kerjasama secara berpasukan dan tahap kecergasan serta taktikal,” katanya.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: