Bola Sepak

Bekas pemain kebangsaan ceburi bidang insurans dan hampir bersara sebelum kembali beraksi


Zubir hampir bersara selaku pemain bola sepak sebelum Kelantan FC menawarkan tempat buat dirinya.

BEKAS tonggak pertahanan utama skuad kebangsaan, Zubir Azmi yang terkenal dengan kekentalan mengekang asakan lawan hampir bersara dalam arena bola sepak dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kerjaya baharunya selaku ejen Takaful.

Pemain kelahiran Kerteh, Kuala Terengganu yang memulakan karier selaku pemain bola sepak profesional bersama Piala Presiden Terengganu (2006-2010) sebelum menyertai skuad senior pada 2010.

Zubir sebelum ini pernah mencuri tumpuan dan merupakan antara watak penting dalam skuad negara selain pernah menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan dalam aksi Piala AFF Suzuki 2012 dan 2014.

Selepas berjauhan dengan keluarga ketika beraksi bersama Sabah pada musim lalu, pemain berusia 30 tahun ini pada awalnya mengambil keputusan untuk bekerja sebagai ejen Takaful dan enggan lagi terlibat dalam kancah bola sepak.

Namun, selepas ditawarkan untuk bersama Kelantan FC, Zubir mengakui perasaan rindu untuk beraksi hadir semula sekali gus menutup kembali niat untuk bersara sepenuhnya pada tahun ini.

“Pada mulanya memang saya rasa nak berhenti terus daripada bermain bola sepak sebab saya sudah kembali bersama keluarga, jadi rasa berat hati nak tinggalkan mereka.

“Selepas itu, saya mula membantu isteri dengan menjadi ejen Takaful dan tidak terlalu fikirkan untuk kembali ke padang.

“Tetapi semangat saya ada semula selepas mendapat tawaran bersama Kelantan, dan daripada situ saya rasa masih mampu untuk buktikan kemampuan saya di atas padang.

“Jadi, saya rasa selepas ini saya memang akan terus bermain selagi masih diperlukan dan tekad ingin beraksi cemerlang di Kelantan”, jelasnya.

Menyertai Kelantan FC, Zubir melihat kelibat pemain-pemain muda yang berpotensi besar untuk kembali meletakkan The Red Warriors di tahap terbaik.

Menjelang aksi pertama berdepan Perak FC II yang merupakan perlawanan tertunda pada Sabtu ini, dia percaya pasukan sudah bersedia sepenuhnya untuk meraih kemenangan.

“Mereka mempunyai banyak potensi untuk diketengahkan dan melihat kesungguhan mereka menjadikan saya lebih berkeyakinan tinggi untuk bantu Kelantan memperbaiki kedudukan liga dengan lebih baik,” jealsnya.

Aksi tertunda membabitkan Perak FC II dan Kelantan FC akan berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Perak, Ipoh.

Kelantan kini di tangga ketujuh Liga Premier selepas mengumpul 14 mata.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: