EURO 2020

Itali juara, badi penalti masih menghantui England


Image

ITALI menafikan hajat England untuk muncul juara kejohanan antarabangsa selepas 55 tahun apabila berjaya memenangi penentuan penalti 3-2 selepas terikat 1-1 dalam masa penuh sekaligus bergelar juara Kejohanan UEFA Euro 2020.

Walaupun bermain di hadapan 60,000 penyokong fanatik England di Stadium Wembley, London, Itali langsung tidak gugup dan berjaya menjulang trofi Henri Delaunay buat kali kedua dalam sejarah.

Upacara penutupan rasmi kejohanan yang warna warni mendahului perlawanan akhir dengan persembahan tarian dan lintas hormat pasukan udara ‘Red Arrows’ diiringi pancaragam dari ‘Royal Guards’.

England tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Luke Shaw melakukan rembatan half volley yang cantik selepas menerima hantaran dari Kieran Trippier seawal minit kedua. Ini adalah jaringan terpantas dalam sejarah final Kejohanan Eropah.

Image

Itali menyusun semula gerakan dan akhirnya berjaya menguasai hampir 60 peratus permainan dengan beberapa peluang hadir menerusi gerakan Federico Chiesa, Ciro Immobile dan Marco Verrati.

Babak kedua menyaksikan Itali menguasai hampir keseluruhan permainan dengan England dilihat sukar mendapatkan bola akibat dari tekanan berterusan dan permainan yang tersusun.

Usaha Itali membuahkan hasil pada minit ke-67 apabila bermula dari sepakan sudut Domenico Berardi menyebabkan keadaan kelam kabut didepan gawang England dengan tandukan Verrati
ditepis oleh Pickford terkena tiang gol.

Bola lantunan itu disambar oleh Leonardo Bonucci yang tidak dikawal untuk mengikat kedudukan 1-1. Tiada jaringan dapat dihasilkan selepas itu walaupun Itali banyak menyerang sekaligus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

30 minit masa tambahan juga gagal memisahkan kedua-dua pasukan dan akhirnya perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Image
Saka gagal menjaringkan penalti sekaligus mengecewakan harapan penyokong Three Lions.

Tiga pemain yang dibawa masuk oleh Gareth Southgate, Marcus Rashford, Jordan Sancho dan Bukayo Saka gagal menjaringkan penalti dan memberikan kemenangan buat Itali sekaligus mendiamkan Wembley dan penyokong England yang jelas kecewa.

Itali juga berjaya mencipta rekod sebagai pasukan pertama yang berjaya memenangi dua penentuan penalti berturut-turut dalam sejarah kejohanan Eropah ini. Berakhir sudah UEFA Euro 2020 dan edisi seterusnya bakal diadakan pada 2024 di Jerman.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: