Bola Sepak Olimpik 2020

Atlet dibenarkan jumpa keluarga sebelum berlepas ke Tokyo


 

Oleh : SUBKHI SUDARJI

KESEMUA atlet yang akan menggalas cabaran Malaysia ke temasya Olimpik 2020 akan dibenarkan berjumpa dengan ahli keluarga sebelum berlepas sebagai suntikan motivasi dan dorongan buat mereka memburu kejayaan di temasya yang akan memulakan tirai dari 23 Julai hingga 8 Ogos.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) telah diarahkan untuk mengaturkan satu perjumpaan bersama ahli keluarga sebelum mereka (atlet) berlepas ke Tokyo.

“Sebelum ini mereka berada dalam protokol Gelembung Sukan, pastinya akan ada rasa rindu dengan kaum keluarga.

“Suka tidak suka kadang-kadang keluarga adalah sumber kekuatan mereka, jadi saya dah arahkan MSN untuk aturkan perjumpaan atlet dengan keluarga sebelum berlepas ke temasya berkenaan.

“Ini sebagai satu suntikan semangat kepada atlet yang akan pergi ke Tokyo berjuang memburu kejayaan,” katanya pada sidang media secara maya sebentar tadi.

Untuk rekod seramai 30 atlet yang terdiri dari 10 acara sukan akan membawa cabaran Malaysia pada acara berkenaan dengan penyertaan atlet kali ini dibarisi dengan gabungan atlet lama dan juga baharu.

Seramai 13 atlet yang kali pertama beraksi pada temasya Olimpik manakala 17 atlet adalah pemain yang telah berpengalaman menyertai kejohanan seumpama ini antaranya jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang, Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong (Terjun).

Lebih 11,000 atlet membabitkan 206 negara menyertai temasya Olimpik 2020 yang menawarkan pingat bagi 33 jenis sukan yang dipertandingkan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: