Oleh : SUBKHI SUDARJI
TIGA sukan menjadi sandaran untuk buat atlet Malaysia mencipta kejayaan pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo yang berlangsung 23 Julai hingga 8 Ogos nanti.
Sukan berkenaan ialah terjun, berbasikal dan badminton sebagaimana yang diraih pada temasya terdahulu di Rio.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, secara realistiknya tiga sukan ini adalah sandaran utama, tapi sukan lain turut mempunyai keupayaan tersendiri.
“Tiga sukan ini diharap mampu menyumbang pingat seperti mana yang berlaku di Rio dan ia diharapkan untuk mencipta sesuatu.
“Namun bagi sukan lain pula, atlet lain sudah pasti mahu memahat sejarah tersendiri, jika tidak mampu membawa pulang pingat, mereka akan berusaha memecahkan rekod peribadi ataupun rekod kebangsaan,” katanya.
Temasya kali ini menyaksikan Malaysia diwakili 30 atlet yang akan beraksi dalam 27 jenis acara merangkumi 10 jenis sukan.
Mereka adalah Khairul Anuar Mohamad, Syaqiera Mashayikh (memanah), Lee Hup Wei, Azreen Nabila Alias (olahraga), Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek), Lee Zii Jia, Soniia Cheah, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Chow Mei Kuan, Lee Meng Yean, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying (kesemuanya badminton).
Selain Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee bagi acara terjun, Gavin Green, Kelly Tan (golf), Farah Ann Abdul Hadi, Jeremiah Loo Phay Xing (gimnastik), Suryani Mohamed Taibi (menembak), Welson Sim dan Phee Jinq En (renang).
Skuad pelayaran negara terdiri daripada empat atlet dan tiga jurulatih menjadi kumpulan pertama kontinjen Malaysia berlepas ke Jepun bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang bakal berlangsung 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
Kelompok kedua dan ketiga atlet dijangka berlepas ke Tokyo pada 17 dan 25 Julai ini.








Add Comment