
PERDANA Menteri England, Boris Johnson berkemungkinan memberikan cuti peristiwa pada Isnin jika England berjaya menewaskan Itali dan menjuarai Kejohanan UEFA Euro 2020 Ahad ini.
Sebanyak 300,000 tandatangan telah berjaya dikumpul dalam petisyen untuk mendesak kerajaan untuk memberikan cuti peristiwa kerana ramai berpendapat mereka masih dlm keadaan separuh sedar untuk bekerja jika England menjadi juara.
Malah ada beberapa pemilik perusahaan yang sudah mengumumkan bahawa mereka mengambil inisiatif sendiri dengan membenarkan pekerja untuk hadir tiga jam lebih lewat berbanding biasa.
Parti besar-besaran dijangka bakal berlaku di seluruh negara dengan semua harapan diletakkan kepada anak buah Gareth Southgate untuk mencipta sejarah baharu bola sepak England.
England layak buat pertama kali ke perlawanan akhir kejohanan besar antarabangsa sejak kali terakhir melakukannya 55 tahun lalu ketika Piala Dunia 1966 yang turut dianjurkan England.

Ini adalah peluang terbaik generasi emas ini melakukan sejarah dan memberikan keceriaan kepada negara dan dunia yang dilanda kesedihan ekoran penularan pandemik Covid-19 yang menjejaskan keseluruhan dunia.
Namun misi mereka bukan mudah apabila bakal berhadapan pasukan berpengalaman Itali yang sememangnya terkenal muncul sebagai juara di kejohanan antarabangsa.
Walaupun bakal berhadapan lebih 60,000 penyokong tuan rumah, Itali dilihat cukup bersedia dan mengikut rekod mereka tidak mempunyai masalah bermain di bawah tekanan penyokong.
Nampaknya England mengikut jejak langkah Malaysia yang sering memberikan cuti peristiwa jika skuad kebangsaan berjaya meraih kejuaraan dalam kejohanan serantau.
Siapakah yang bakal muncul juara Kejuaraan Euro 2020 ini? Sama-sama kita saksikan perlawanan yang pastinya sengit nanti!
Add Comment