PENGADIL Belanda, Bjorn Kuipers diberi penghormatan oleh (Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) untuk mengadili perlawanan akhir Kejohanan UEFA Euro 2020 antara Itali dan England di Stadium Wembley, London pada Ahad ini.
Kuipers, 48 adalah seorang pengadil bertaraf FIFA dan pengadil elit UEFA yang sangat berpengalaman dan sudah banyak kali terpilih mengadili beberapa perlawanan antarabangsa termasuk Piala Dunia FIFA 2014 dan 2018, Final Liga Europa 2013 dan 2018 serta final Liga Juara-Juara Eropah 2014.
Ini adalah kali kedua Kuipers mengadili perlawanan antara England dan Itali yang pada ketika itu bertemu dalam peringkat Kumpulan D Piala Dunia FIFA Brazil 2014 di Manaus yang menyaksikan Itali menang 2-1.
Apa yang lebih menarik, selain mempunyai kerjaya sebagai seorang pengadil professional, Kuipers juga adalah seorang jutawan yang memiliki francais pasar raya dan salun yang diusahakan bersama isterinya di seluruh Belanda dan juga Belgium dan dinilaikan mempunyai kekayaan sebanyak £11.50 juta bersamaan RM66.40 juta pada tahun 2016.
Ini adalah pengalaman pertama beliau mengadili final Kejohanan Eropah namun pengalaman beliau dalam pelbagai kejohanan kelolaan UEFA dan FIFA pastinya membantu beliau dalam menjalankan tugas penting sebagai ‘man on the middle’ dalam pertembungan hebat ini.
Adakah pengadil dari Belanda ini akan memberikan kelebihan kepada England sepertimana di peringkat separuh akhir apabila seorang lagi pengadil Belanda, Danny Makkelie menghadiahkan sepakan penalti kontroversi yang membawa kemenangan kepada England.
Selamat maju jaya diucapkan kepada barisan pengadil yang diketuai Kuipers dan dua lagi pembantu pengadil juga dari Belanda, Sander Van Roelkel sebagai pembantu pengadil 1 dan Erwin Zeistra sebagai pembantu pengadil 2.
Add Comment