Bola Sepak

Batal Piala AFC tidak luntur semangat Terengganu FC

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

PEMBATALAN saingan Piala AFC 2021 tidak melunturkan semangat skuad Terengganu FC sebaliknya ingin terus fokus kepada aksi Liga Super bagi memastikan mereka layak sekali lagi beraksi dalam saingan itu.

Ketua jurulatih, Nafuzi Zain enggan anak buahnya berputus asa di sebalik pembatalan kejohanan itu meskipun pada awalnya agak sukar untuk menerima keputusan tersebut memandangkan persediaan rapi telah dibuat.

Namun, ini tidak bermakna peluang yang diperoleh tamat begitu sahaja kerana sudah pasti fokus utama selepas ini adalah kekal konsisten dengan kedudukan terkini liga untuk sekali lagi mendapat slot kelayakan ke pentas Piala AFC pada tahun hadapan.

Justeru, barisan pemain perlu lupakan sepenuhnya kekecewaan mengenai pembatalan kejohanan itu dan perlu merebut peluang lain untuk mencapai prestasi terbaik di pentas Liga Super dan Piala Malaysia.

“Kecewa tu memang kecewa sebab ini pertama kali saya sebagai jurulatih ingin bawa pasukan ke tahap seperti ini dalam pentas Piala AFC, tetapi akhirnya ia terpaksa dibatalkan.

Nafuzi kini hanya fokus untuk saingan liga yang dijangka kembali bersambung 24 Julai ini.

“Tetapi, kita kena terima juga keputusan ini dan selepas ini pemain-pemain boleh lebih memberi fokus kepada saingan liga pula kerana slot untuk layak ke Piala AFC sentiasa terbuka.

“Musim lepas, kami bernasib baik layak walaupun berada di tangga ketiga selepas Piala FA dan Piala Malaysia dibatalkan, tetapi tahun ini kita kena pastikan betul-betul layak untuk ke Piala AFC sekali lagi tahun depan.

“Sekarang kita di tangga kedua liga, tetapi jurang mata dengan Kedah juga tidak jauh, sebab itu kita kena terus konsisten dengan prestasi sekarang”, jelasnya.

Terdahulu, Terengganu FC berada dalam Kumpulan I yang turut dihuni Geylang International FC, Visakha FC dan Lalenok United di mana pertembungan pertama aksi kumpulan itu sepatutnya bermula pada 30 Jun lalu.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: