Bola Sepak

ACL: JDT tewas kali keempat


Aksi pemain JDT bertemu Nagoya Grampus pada Ahad. Foto: JDT

Oleh: JJFIRDAUS

PASUKAN Johor Darul Ta’zim tewas sekali lagi dalam perlawanan Kumpulan G Liga Juara-Juara AFC apabila tunduk kepada wakil Jepun Nagoya Grampus 2-1 di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Benjamin Mora melakukan banyak perubahan dengan mempertaruhkan pemain-pemain tempatan mengetuai barisan serangan dan juga bahagian tengah manakala S.Kunanlan bertindak sebagai kapten.

Hazwan Bakri pertama kali diturunkan menggantikan Bergson Da Silva yang langsung tiada dalam senarai pemain. Dia bergandingan dengan Akhyar Rashid dan Ramadhan Saifullah.

JDT ketinggalan seawal minit keempat apabila Adam Nor Azlin memberikan sepakan penalti kepada Nagoya dan Matheus mudah menewaskan Haziq Nadzli untuk gol pertama.

Nagoya Grampus menggandakan kedudukan pada minit ke-28 apabila Hiroyuki Abe menjaringkan gol cantik melalui sepakan lencong dari luar kotak penalti.

Tersentak dengan gol itu, JDT meneruskan serangan dan akhirnya berjaya mendapat gol pertama menerusi Ramadhan Saifullah yang menampan masuk bola muntah hasil rembatan deras Corbin Ong untuk merapatkan kedudukan menjadi 2-1.

Ramadhan menjadi pemain termuda menjaringkan gol buat JDT di ACL dan juga pemain pertama menggegar jaring Nagoya Grampus untuk kempen kali ini. JDT juga menjadi hanya pasukan keenam yang berjaya membolosi gawang Nagoya tahun ini.

Ramadhan (kiri) menjadi pemain termuda menjaringkan gol pada aksi ACL. Foto: JDT

Babak kedua menyaksikan Nagoya mempunyai banyak peluang keemasan tetapi disia-siakan barisan penyerang selain kecemerlangan Haziq yang menjadi penghalang.

Leandro Velazquez nyaris menyamakan kedudukan tetapi sayang rembatannya sekadar menggegar palang gol. Mora melakukan beberapa pertukaran dengan Safiq Rahim, Syafiq Ahmad dan Mohamadou Sumareh dibawa masuk.

Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan dan JDT secara rasmi tersingkir dari kejohanan dan kekal di tangga ketiga dengan tiga mata dan bakal melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan menentang Ratchaburi FC pada 7 Julai nanti.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading