Lain-Lain

Olimpik Tokyo: Nur Suryani dedah perlu fokus hadapi ‘musuh sebenar’


Nur Suryani bakal beraksi dalam acara 50m Rifle 3 Position di Tokyo nanti.

 

Oleh: SURYATI MOHD NOR

BAKAL tampil ke Sukan Olimpik buat kali kedua, penembak berpengalaman negara Nur Suryani Mohamed Taibi mengakui temasya di Tokyo tahun ini amat berbeza.

Nur Suryani,39, menjadi atlet negara ke-23 layak ke kejohanan terbesar dunia Sukan Olimpik di Tokyo yang bakal berlangsung 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Penembak kelahiran Perak ini bakal beraksi dalam acara kegemarannya 50 meter Rifle 3 Position berbeza ketika aksinya pada Olimpik London 2012 iaitu 10m Air Rifle Individu.

“Bagi saya acara kegemaran atau tidak, bukanlah menjadi masalah kepada saya kerana apa yang penting adalah perlu fokus dalam setiap tembakan yang dibuat.

“Ia lebih kepada teknikal serta taktikal dan apabila tembakan dilepaskan kita perlu pastikan tiada kesilapan walaupun kecil kerana ia boleh menghalang skor yang baik.

“Jika tembakan dapat skor sembilan, kita perlu tahu faktor yang mengurangkan skor itu (tidak dapat skor 10). Jadi sikap berlawan sentiasa perlu ada dalam diri sendiri.

“Bagi saya musuh sebenar dalam sukan menembak ini adalah diri sendiri,” jelasnya.

Mengenai persiapan sebelum ke Tokyo, Nur Suryani memberitahu dia banyak melakukan latihan dari segi  taktikal dan teknikal.

“Hampir setahun tidak ada menyertai sebarang kejohanan tetapi dalam tempoh itu saya sentiasa menjalani latihan sendiri.

Nur Suryani menjadi perhatian seluruh peminat sukan dan media dunia ketika aksi di London 2012.

“Dengan tempoh yang ada ini juga saya akan cuba meningkatkan prestasi bagi memastikan dapat melakukan yang terbaik di Tokyo nanti,” jelasnya yang dilatih oleh Mohd Yusri Jusoh sejak lima bulan lalu.

Nur Suryani merupakan pemegang rekod 50m Rifle 3 Position Individu wanita dengan skor 1150 sekaligus ayak ke Sukan Olimpik selepas menjadi atlet Persatuan Kebangsaan Menembak Malaysia (NSAM) yang menerima satu slot wild card awal Jun lalu.

Pada edisi di London sembilan tahun lalu, Nur Suryani menjadi tumpuan seluruh peminat sukan dan media dunia selepas tampil beraksi biarpun ketika itu dia sarat mengandung lapan bulan dan menamatkan saingan di kedudukan ke-34.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: