Lain-Lain

Malaysia Airlines pesawat rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik


PENERBANGAN Malaysia Airlines diberi penghormatan untuk menerbangkan atlet-atlet dan pegawai ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa syarikat penerbangan Malaysia Airlines itu sebagai rakan penerbangan rasmi bagi kontinjen Malaysia yang bertanding bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Kumpulan pertama atlet acara pelayaran dijangka akan berlepas pada 8 Julai ini melalui pesawat MH070, manakala kumpulan kedua pada 17 Julai (MH9118) yang turut disertai duta jenama Malaysia Airlines iaitu penerjun negara Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, badan penaung sukan negara ini amat gembira dapat bekerjasama dengan Malaysia Airlines bagi temasya Olimpik kali ini.

“Malaysia Airlines memainkan peranan penting dalam memastikan keselesaan dan keselamatan para atlet kita semasa perjalanan ke kejohanan nanti yang pastinya akan memberi kesan positif kepada persediaan mereka untuk bertanding di Tokyo.

“Kami berbangga dengan perkongsian ini yang akan menemukan dua wakil terbaik negara, yakni kumpulan atlet negara bertaraf dunia dan syarikat penerbangan negara bertaraf dunia. Kedua-duanya mewakili apa yang terbaik di negara kita, terbang tinggi dan melampaui jangkaan,” katanya.

Kapten Izham Ismail

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Kapten Izham Ismail berkata, adalah satu penghormatan untuk menerbangkan kontinjen negara ke Olimpik selepas kejayaan membawa pasukan bola sepak kebangsaan ke Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini.

“Sebagai syarikat penerbangan negara, kami berbangga diberi kepercayaan untuk menerbangkan kontinjen kebangsaan dan berganding bahu untuk mengibarkan bendera negara ke seluruh dunia melalui acara sukan.

“Kami komited dalam menawarkan standard keselamatan dan kebersihan tertinggi dalam setiap langkah di sepanjang penerbangan bagi memastikan atlet negara dapat terbang dengan yakin dan selesa untuk tampil di kejohanan nanti, terutama pada musim pandemik Covid-19 ini, “ katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading