EURO 2020

England tepati ramalan ke separuh akhir


ENGLAND menepati ramalan awal apabila mudah menewaskan Ukraine 4-0 untuk layak ke peringkat separuh akhir Kejohanan UEFA Euro 2020 menerusi dua jaringan ketua pasukan, Harry Kane dan masing-masing satu gol dari Harry Maguire dan Jordan Henderson.

Skuad kendalian Gareth Southgate itu dilihat tidak berdepan sebarang masalah dengan memanfaatkan gol awal pada setiap babak bagi menafikan peluang anak buah Andriy Shevchenko melakukan kejutan.

Pemain sensasi, Jordan Sancho diberikan peluang untuk memulakan perlawanan dengan Mason Mount kembali memperkuatkan pasukan selepas diketepikan akibat kuarantin kendiri.

Walaupun Harry Kane cemerlang menjaringkan dua gol, namun Luke Shaw mencuri tumpuan apabila dua hantaran beliau membantu Kane dan Maguire mencipta jaringan.

Kane meledak gol pertama England.

England membuka tirai jaringan seawal minit keempat apabila Harry Kane yang melepasi perangkap ofsaid mudah menolak masuk selepas menerima hantaran dari Raheem Sterling.

Selepas gol itu, kedua-dua pasukan sering bertukar serangan dengan Ukraine cuba mencari gol penyamaan tetapi tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan sehingga tamat babak pertama.

Bermula babak kedua, England menggandakan kedudukan pada minit ke-46 apabila Harry Maguire menanduk masuk bola hantaran sepakan percuma Shaw setelah Harry Kane dikasari di luar kotak penalti.

Gol itu memberikan semangat buat England dan pada minit ke-50 Luke Shaw sekali lagi cemerlang membuat hantaran lintang cantik untuk disudahkan dengan baik oleh Harry Kane. Ini adalah gol ketiga kejohanan buatnya.

Ukraine gagal mencari sebarang gol.

Jordan Henderson yang masuk menggantikan Declan Rice hanya memerlukan enam minit untuk mencetak nama sebagai penjaring apabila menanduk masuk sepakan sudut Mason Mount untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Southgate terus melakukan empat pertukaran untuk merehatkan beberapa tonggak sebagai persediaan untuk perlawanan separuh akhir dan kedudukan 4-0 kekal hingga tamat 90 minit perlawanan.

Skuad The Three Lions juga berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos dalam lima perlawanan sepanjang kejohanan ini dan dengan kemenangan ini, England bakal berhadapan Denmark dalam separuh akhir kedua di Stadium Wembley pada 7 Julai nanti.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: