EURO 2020

Itali teruskan langkah bergaya ke separuh akhir


Image

ITALI menempah tiket ke separuh akhir Kejohanan UEFA Euro 2020 apabila menundukkan Belgium 2-1 dalam pertembungan dua gergasi Eropah yang berlangsung sengit di Allianz Arena, Munich.

Kedua-dua pasukan sering bertukar serangan dengan Itali dilihat lebih banyak menguasai bola dan Belgium cuba melakukan serangan balas pantas bagi memerangkap pertahanan skuad Azzuri

Itali berjaya menggegar jaring Belgium pada minit ke-13 tetapi jaringan Leonardo Bonucci tidak dikira kerana beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Belgium melakukan serangan balas dan berpeluang untuk berada dihadapan tetapi percubaan Kevin De Bruyne berjaya ditepis oleh Gianluigi Donnaruma pada minit ke-22.

Allianz Arena bergegar dengan sorakan penyokong Itali apabila Nicolo Barella berjaya meledak jaringan pertama pada minit 31. Berpunca dari keadaan kelam kabut di hadapan gawang, Barella bijak menewaskan Thibaut Cortous dengan satu rembatan deras.

Menuju tamat separuh masa pertama, Lorenzo Insigne menjaringkan gol menakjubkan menerusi larian solo untuk meletakkan Itali selesa dengan dua gol dihadapan pada minit ke-44.

Ketinggalan 2-0, Belgium diberikan talian hayat apabila kesilapan pemain pertahanan Itali menghadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Romelu Lukaku untuk merapatkan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama.

Babak kedua bersambung dengan kedua-dua pasukan masih meneruskan corak permainan pantas dan Belgium hampir menyamakan kedudukan menerusi Lukaku tetapi dihampakan oleh Leonardo Spinazzola di hadapan gawang pada minit ke-61.

Kekentalan benteng Itali berjaya menyekat serangan bertali arus Belgium dan kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan pasukan ranking pertama dunia itu tersingkir dari kejohanan.

Skuad kendalian Roberto Mancini layak ke separuh akhir dan bakal bertemu lawan mereka di perlawanan akhir edisi 2012, Sepanyol di London pada 7 Julai nanti.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading