Lain-Lain

Sukan Olimpik: Mun Yee harapkan pingat pada terjunan akhir di Tokyo


Foto: Twitter Mun Yee

Oleh: SURYATI MOHD NOR

KURANG daripada sebulan temasya Sukan Olimpik bakal membuka tirai di Tokyo, Jepun pastinya atlet-atlet negara sudah berada di fasa akhir persiapan.

Antara yang bakal, mencuri tumpuan atlet dalam kontinjen negara kali ini adalah penerjun senior Leong Mun Yee.

Atlet berusia 36 tahun ini mengakui tumpuannya adalah untuk cuba meraih pingat memandangkan edisi di Tokyo ini adalah yang terakhir buatnya sebelum bersara.

Sudah pasti atlet kelahiran Perak ini mahu melakar momen yang isimewa dalam karier memandangkan ia adalah Olimpik yang kelima buat dirinya.

“Bukan mudah untuk layak ke Olimpik. Ia memerlukan usaha keras dan perlu serius.

 

“Saya berharap prestasi saya semakin baik dengan latihan yang dijalankan dan akan bersaing dengan rakan senegara Pandelela Rinong dalam acara 10 meter synchro (platform seirama),” jelasnya pada sidang media Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara atas talian pada Rabu.

Mengimbas kembali kariernya ini, Mun Yee yang menjadi penerjun sejak berusia 10 tahun, antara penerjun negara paling berjaya dan membawa pulang pelbagai pingat termasuk perak di Sukan Komanwel 2010 di India, gangsa di Sukan Asia Korea Selatan 2014 dan dua emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Aksi Mun Yee (kiri) dan Pandelela Rinong.

Mun Yee juga merupakan penerjun Malaysia pertama bersama Pandelela memenangi gangsa menerusi 10m platform seirama wanita di Kejohanan Dunia FINA 2019 di Rome, Itali selain mengukir sejarah apabila Malaysian Book of Records menamakan Mun Yee sebagai atlet wanita pertama yang layak ke empat temasya Sukan Olimpik pada 2012.

Hanya jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei dan pelayar negara, Kelvin Lim bertanding dalam empat Sukan Olimpik, setakat ini.

Mun Yee yang mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012 bersedia untuk bertanding dalam acara 10 meter platform serirama wanita di Tokyo dengan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Pandelela Rinong.

Kedua-dua mereka menempah tiket ke Tokyo selepas memenangi pingat perak dalam 10m platform seirama wanita dengan mengumpul 312.72 mata di Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18, Gwangju, Korea Selatan pada Julai 2019.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: