Komentar

VAR: Liga Malaysia bersedia atau tidak?

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Oleh: MOHD FARIQ

SISTEM Video Bantuan Pengadil (VAR) bukanlah satu nama asing khusus kepada penyokong bola sepak secara global masa kini.

Secara asasnya pengenalan VAR dalam bola sepak moden bertujuan untuk membantu pegawai pengadilan bagi mengurangkan kesilapan ketika mengadili perlawanan berstatus tinggi.

Malah Liga Malaysia tidak terkecuali dituntut menggunakan sistem VAR ini di mana penyokong-penyokong menganggap ia mampu membantu menambahbaik mutu pengadilan apatah lagi pengadilan Liga Malaysia sentiasa membabit kontroversi di pada awal musim 2021.

Pelbagai pandangan dilontarkan. Ada sebahagian bersetuju dan ada pula memiliki suara berbeza dalam isu VAR.

Secara peribadi, penulis tidak menolak pengenalan VAR dalam Liga Malaysia sebagaimana hampir seluruh dunia telah menggunakan teknologi ini bagi membantu mutu pengadilan liga mereka sendiri.

Sejarah VAR bertapak dalam bola sepak global

Di babak awal penubuhan VAR, sistem ini asalnya merupakan satu projek yang diseliakan oleh Refereeing 2.0 di bawah arahan Persatuan Bola Sepak Diraja Belanda (KNVB).

Kemudian penggunaan VAR diuji selama semusim dalam kempen Eredivisie pada tahun 2012/13 sebelum setahun kemudian KNVB mengemukakan petisyen kepada Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) untuk mengubah undang-undang permainannya agar sistem ini dapat digunakan selama percubaan yang lebih luas.

IFAB meluluskan sesi percubaan dan pelaksanaan sepenuhnya penggunaan VAR dalam mesyuarat agung pada tahun 2016.

Setiausaha IFAB, Lukas Brud ketika itu berkata: “Dengan kemudahan stadium, jalur talian 4G dan Wi-Fi pada hari ini, kita semua tahu bahawa kita harus melindungi pengadil daripada melakukan kesilapan yang dapat dilihat oleh mana-mana pihak dengan segera.”

Percubaan langsung pertama sistem VAR secara siaran langsung adalah perlawanan persahabatan antara PSV dan FC Eindhoven pada Julai 2016 sebelum pengunaan VAR pertama kali ditulis dalam Undang-Undang Permainan oleh IFAB pada tahun 2018.

Dengan pengenalan VAR, pasukan boleh protes atau penilaian semula ketika perlawanan berdasarkan empat kategori sahaja iaitu gol atau tidak gol, penalti atau tidak penalti, kad merah secara terus melibatkan peluang menjaringkan gol, kekasaran, penggunaan bahasa kesat dan kesalahan identiti dalam pemberian kad merah atau kuning.

Sehingga kini, sebanyak 45 liga secara global telah menggunakan penggunaan VAR dalam aksi domestik mereka.

Liga Malaysia mesra VAR atau sebaliknya

Di sebalik pengenalan VAR, penggunaan teknologi video ini bagaimanapun dilihat masih gagal menyelesaikan masalah apabila VAR pernah dituduh ‘menimbulkan kekeliruan lebih banyak berbanding penjelasan’.

Selepas pengenalan VAR di Piala Dunia 2018, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sistem VAR merupakan satu kejayaan baharu dalam bola sepak moden.

Malah, penggunaan VAR yang menjadi sinonim dalam peraturan bola sepak masa kini juga diterapkan dalam EURO 2020.

Sepanjang Euro 2020 berlangsung, bagang kian terasa semasa perlawanan di peringkat kumpulan di mana keputusan dibuat melalui VAR turut mendebarkan pasukan dan peminat.

Walaupun begitu, penggunaan atau kekurangan penggunaan VAR telah dikritik di mana pemerhati bebas menyatakan bahawa walaupun kebanyakan keputusan dibuat dengan betul sebagai hasil daripada VAR, beberapa keputusan salah walaupun kajian VAR dan beberapa keputusan yang disebut tidak betul tidak disemak.

The Guardian menyimpulkan bahawa VAR paling berkesan untuk keputusan faktual seperti offside dan identiti yang salah, sementara keputusan subjektif seperti penalti atau disiplin pemain adalah bersifatkan lebih buruk dan teruk.

Berbalik dalam peta Liga Malaysia, penulis meramalkan penggunaan VAR masih belum berada dalam keadaan sedia.

Ini kerana penggunaan sistem ini menuntut kos yang tinggi serta tenaga kepakaran dalam menyediakan bantuan teknologi video dalam perlawanan bola sepak.

Kos pemasangan VAR untuk satu stadium dianggarkan bernilai RM 616,710 dan ia dikatakan memerlukan bajet dalam sekitar RM7.4 juta jika mahu dipasangkan pada 12 stadium pasukan Liga Super apatah lagi kebanyakan pasukan Liga Malaysia tidak memiliki stadium sendiri sekali gus menyukarkan lagi usaha membina VAR dalam Liga Malaysia.

Belum termasuk para pengadil tempatan pula perlu dihantar menjalani kursus tambahan untuk mempelajari cara mengendalikan VAR agar tidak timbul sebarang masalah.

Malah, Liga Thailand yang di antara 45 wakil yang menggunakan VAR, terpaksa menghentikan sistem VAR pada Januari 2018 disebabkan mereka sendiri mengalami beberapa masalah terutamanya kurangnya kemahiran pegawai perlawanan serta menerima banyak aduan dari kelab yang beraksi.

Namun, Thailand kemudiannya kembali menggunakan sistem VAR pada tahun lalu.

Justeru, penulis secara peribadi menganggap sebelum Malaysian Football League (MFL) atau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) implikasi VAR dalam Liga Malaysia, adalah lebih baik pasukan-pasukan negara dapat memiliki stadium sendiri atau mempertingkatkan lagi mutu pengadil tempatan berbanding memikirkan isu VAR.

Sejujurnya penulis tidak menolak kewujudan VAR dalam Liga Malaysia tetapi buat masa ini sepatutnya pasukan lebih fokus membina aset sendiri berbanding bertindak menyewa stadium-stadium.

Jika betul mahu melaksanakan VAR, mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan hanya Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri sahaja paling layak dan ideal menggunakan sistem VAR ini sebagaimana Johor Darul Ta’zim sentiasa menjadi contoh terbaik.

Tatkala Liga Malaysia masih lagi dirundum dengan masalah tunggakan gaji, venue dan sebagainya, kelab sepatutnya lebih fokus membetulkan perkara asas terlebih dahulu sebelum kita berbincang mengenai satu sistem dalam penambahbaikan kualiti perlawanan.

Akhir kata daripada penulis, tak lari gunung dikejar dan sebagai satu kelab bola sepak, fokus anda adalah membina satu industri yang lebih efektif.

Kita tak tolak VAR tetapi kita tolak sikap acuh tak acuh.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: