Komentar

Aksi Euro 2020 makin hangat, jangan lupa wakil negara JDT di pentas ACL


Oleh: MOHD FARIQ

KIRA-KIRA seminggu lalu, kita semua sebagai rakyat Malaysia telah meraikan kemenangan 1-0 Harimau Malaya ke atas Thailand dalam aksi kelayakan Kumpulan G Piala Dunia 2022 & Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bukan apa, kemenangan pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe itu sedikit sebanyak mengubati kesedihan penyokong pasukan negara selepas menduduki tangga ketiga peringkat kumpulan dengan kelebihan 12 mata.

Maka kita semua ‘berehat’ sementara menyaksikan bola sepak domestik di mana Liga Malaysia akan kembali bersambung pada Julai depan manakala pasukan kebangsaan yang bakal beraksi di pusingan ketiga Piala Asia 2023 pada tahun hadapan.

Justeru tak salah rasanya buat penulis mengalihkan fokus sebentar kepada kejohanan Eropah iaitu Euro 2020 yang menyaksikan menampilkan format bermain di 11 negara di sebelah Eropah.

Seperti biasa, kejohanan Euro 2020 sentiasa menjadi medan perbualan dan perbincangan buat penyokong di pelosok dunia.

Selain nama-nama gah pemain berkelas dunia seperti Cristiano Ronaldo, Euro 2020 juga menjadi platform kepada pemain lain untuk menjadi watak utama dalam pasukan.

Nama seperti pemain Republik Czech, Patrik Schick dan penyerang Belgium, Romelu Lukalu bakal menjadi gelanggang terbaik untuk mereka membina nama sebagai permata baharu dalam dunia bola sepak dunia.

Bercakap mengenai prestasi pasukan dalam Euro 2020, Itali tampak gah dan terus kekal konsisten dengan rekod tanpa kalah sekali gus melengkapkan mereka layak ke pusingan kalah mati.

Pasukan Itali turut menjadi pilihan.

Turut mengiringi Itali adalah Wales, Belgium, Denmark, Belanda, Austria, Croatia, England, Sweden dan Perancis.

Kini tumpuan terarah kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan E yang melibatkan juara Euro 2012, Sepanyol dan Kumpulan F melibatkan juara bertahan, Portugal serta gergasi Eropah Jerman dalam penentuan pusingan kalah mati.

Pertama, penulis mengakui merupakan peminat England dan Belanda di mana harapan penulis kedua-dua pasukan pilihan penulis dapat layak ke pentas final pada tahun ini.

Namun dunia juga dikejutkan dengan insiden pemain tengah Denmark, Christian Eriksen rebah dalam perlawanan.

Ketika itu, perlawanan pembukaan Kumpulan B Euro 2020 antara Denmark dan Finland bertukar tragedi selepas Eriksen rebah secara tiba-tiba pada penghujung separuh babak masa pertama.

Pengadil perlawanan, Anthony Taylor bertindak pantas dengan segera menghentikan perlawanan tersebut dan memanggil pegawai perubatan masuk ke dalam padang sebelum bantuan pernafasan (CPR) dilakukan dengan pantas.

Tragedi mengejutkan yang berlaku ke atas Eriksen.

Eriksen kini semakin pulih tetapi tragedi ini bukan sahaja memberikan tamparan sebaliknya pengajaran kepada seluruh pasukan termasuk Malaysia di mana kita juga harus bersedia dengan apa-apa jua bentuk kecemasan yang berlaku di dalam padang pada masa akan datang.

Tatkala insiden Eriksen berlaku, perjuangan pasukan-pasukan untuk merebut status Raja Eropah diteruskan.

Seperti penulis katakan sebelum ini, penulis mahu melihat England atau Belanda bakal menjadi juara Euro 2020 tetapi tidak kira mana-mana pasukan layak nanti, kita semua mahu disajikan dengan persembahan berkualiti dan menghiburkan berkelas dunia.

Harapan penulis sudah pasti berharap Malaysia juga dapat bermain di pentas tertinggi seperti Piala Asia atau Piala Dunia pada satu masa akan datang.

Bukan apa, segan juga bersorak untuk negara orang lain tetapi ketika bola sepak domestik berehat seketika, tak salah kita semua layankan persembahan pasukan di pentas Euro 2020.

Aksi JDT di pentas Asia turut mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air. Foto: JDT

Tidak dilupakan juga kita semua terus memberikan sokongan kepada wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan memulakan kempen peringkat kumpulan AFC Champions League 2021 semalam.

Biarpun tewas 0-1 kepada wakil Jepun itu, skuad Harimau Selatan terus mempamerkan peningkatkan prestasi dengan terus merapatkan jurang kelab-kelab gergasi Asia.

Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan JDT mampu cipta kejutan memenangi ACL pada masa akan datang sebagaimana mereka lakukan dengan memenangi Piala AFC pada 2015.

Akhir kata penulis, teruskan menikmati kejohanan Euro 2029 tetapi janganlah lupa untuk kita semua terus memberikan sokongan kepada bola sepak tempatan yang dijangka bakal bersambung di mana Liga Premier (3 Julai) dan Liga Super bermula 24 Julai depan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: