
Oleh: JJFIRDAUS
KETUA jurulatih Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemain-pemainnya biar pun tewas tipis kepada Nagoya Grampus dalam aksi pembukaan perlawanan Kumpulan G Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Jelas Mora, pemain-pemainnya telah berjuang hingga ke minit akhir perlawanan berlangsung.
“Saya bangga dengan pemain-pemain saya. Mereka berjuang dan bermain mati-matian hingga ke penghujung perlawanan.
“Kami lakukan apa yang kami mampu tetapi sayangnya kami melepaskan satu gol. Saya berpendapat ini adalah satu permulaan yang sangat baik,” ujar Mora pada sidang media selepas perlawanan.
Pada perlawanan tersebut, JDT tewas 1-0 kepada wakil Jepun, Nagoya Grampus menerusi gol kontroversi jaringan Hiroyuki Abe pada minit ke-61 dan nyaris menyamakan kedudukan pada minit akhir perlawanan menerusi Bergson tetapi dibatalkan oleh pengadil.
Dalam perkembangan yang sama, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi hantaran di laman Instagramnya juga senada dengan Mora dan yakin JDT akan kembali bangkit berjuang.
Add Comment