
PENGURUS Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin menyifatkan peluang Syarifuddin Azman untuk bersaing di MotoGp adalah cerah selepas muncul juara perlumbaan pertama CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol minggu lalu.
Jelasnya, sama ada Syarifuddin bersedia atau tidak untuk bersaing di MotoGP memang dia kena bersedia untuk berlumba di sana.
“Sama juga seperti ketika saya ambil dia berlumba dari Cub Prix ke CEV saya tahu dia tak bersedia tapi kami mempersiapkan dia untuk pergi ke peringkat seterusnya.
“Setiap perlumbaan itu berbeza dan sekarang kita tahu, bersedia atau tidak dia (Syarifuddin) sudah menang perlumbaan di CEV.
“Itu sudah bermakna dia sudah separuh bersedia untuk ke Kejohanan Dunia. Dia kena pergi untuk mencuba kerana setiap perlumbaan itu adalah berbeza,” katanya pada sidang akhbar bersama media yang diadakan secara maya hari ini.
Zulfahmi kini dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan barisan pelumba muda negara di kejohanan CEV Moto3 Remaja Dunia di Sepanyol.

Untuk rekod, prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT) Datuk Razlan Razali memaklumkan peluang untuk Syarifuddin atau Damok ke MotoGp adalah cerah.
“Damok sudah memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan sudah pasti ada sinar untuknya bersaing di MotoGp pada masa akan datang,” ujar Razlan.
Selain Damok, empat lagi pelumba negara turut bersaing di pentas Eropah dan CEV dan mereka terdiri daripada Adam Norrodin (CEV), Danial Syahmi, Hakim Danish dan Sharul Ezwan Sharil di European Talent Cup (ETC).





Add Comment