PELUMBA Red Bull Racing dan pendahulu kejuaraan pemandu, Max Verstappen melaungkan amaran awal kepada semua pencabar apabila mencatatkan masa terpantas ketika sesi latihan bebas kedua Grand Prix Perancis pada Jumaat.
Verstappen mencatat masa sepusingan 1 minit 32.872 saat mengatasi dua pelumba Mercedes, dengan Valtteri Bottas hanya ketinggalan 0.008 saat di Litar Paul Ricard.
Pemandu Belanda yang kecewa kerana terkeluar dari perlumbaan lepas di Azerbaijan akibat masalah tayar ketika mendahului, mempamerkan pemanduan matang dan menguasai sesi selama 90 minit ini.
Seteru utama, Lewis Hamilton mencatat masa ketiga terpantas dan dilihat kurang selesa dengan jentera yang dipandu dengan sering mengadu kepada radio pasukan tentang masalah keseimbangan kereta.
Pasukan tuan rumah Alpine, cemerlang dengan Fernando Alonso di tangga keempat manakala pelumba muda mereka, Esteban Ocon di tangga keenam dengan pelumba Ferrari Charles Leclerc memisahkan mereka di tangga kelima.
Seorang lagi pelumba tuan rumah, Pierre Gasly meneruskan rentak cemerlang apabila mencatat masa ketujuh terpantas untuk Alpha Tauri dihadapan Carlos Sainz yang memandu Ferrari.
Melengkapkan 10 terpantas adalah Kimi Raikkonen ditangga kesembilan dan Lando Norris meletakkan jentera McLaren beliau di tangga ke-10. Malang buat dua pelumba Aston Martin apabila masing-masing bergelut di tangga ke-15 dan 16.
Esok sesi latihan ketiga akan berlangsung pada sebelah tengah hari diikuti sesi kelayakan bagi menentukan grid permulaan Grand Prix Perancis yang dijadualkan pada Ahad.
Add Comment