ITALI muncul pasukan pertama layak ke pusingan 16 terbaik Kejohanan UEFA Euro 2020 setelah mengenepikan cabaran Switzerland 3-0 di Stadium Olimpico, Rome
Skuad kendalian Roberto Mancini tidak melepaskan peluang beraksi di laman sendiri dengan mempamerkan permainan yang cemerlang dan gagal disaingi oleh Switzerland.
Penyokong The Azzuri gembira apabila melihat rembatan jarak dekat kapten pasukan, Giorgio Chiellini menerjah jaring tetapi jaringan itu dibatalkan kerana bola telah terkena tangan Chiellini setelah diperiksa melalui video bantuan pengadil.
Namun kekecewaan mereka tidak lama apabila pada minit ke-26, Manuel Locatelli bijak menyambar hantaran lintang Domenico Berardi untuk meletakkan Itali 1-0 dan sebelah kaki layak ke pusingan seterusnya.
Switzerland cuba bangkit melakukan serangan tetapi mudah dipatahkan barisan pertahanan Itali untuk keputusan kekal 1-0 pada tamat separuh masa pertama.
Babak kedua masih menyaksikan Itali menguasai permainan dan sekali lagi Manuel Locatelli menjadi wira Itali apabila rembatannya dari luar petak penalti menewaskan Jan Sommer pada minit ke-52.
Switzerland cuba menggandakan asakan selepas itu tetapi masih gagal menembusi benteng Itali. Dikala ramai menjangkakan kedudukan 2-0 kekal hingga wisel penamat, Ciro Immobile menambah derita Switzerland dengan gol ketiga Itali menerusi rembatan dari luar petak penalti.
Enam gol dan enam mata dari dua perlawanan menyaksikan Itali kekal di puncak Kumpulan A dan layak ke pusingan kalah mati manakala Switzerland di tangga ketiga dengan satu mata.





Add Comment