
Oleh: SURYATI MOHD NOR
PENYERANG negara, Safawi Rasid megakui bertemu Thailand bukan aksi mudah, tetapi Harimau Malaya berjaya mengharunginya.
Pemain kelahiran Dungun, Terengganu ini dimasukkan pada separuh masa kedua pada aksi terakhir Kumpulan G Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai awal pagi Rabu.
Apa yang menarik, beberapa minit dimasukan Safawi berjaya menggunakan peluang dijatuhkan dalam kawasan kotak penalti lawan sekaligus dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Mohammed Khled.
“Saya menghormati semua pegawai pasukan, ketua jurulatih dan pemain-pemain lain yang memberi ‘all out’ untuk bawa balik kemenangan ini kepada Malaysia.
“Saya bukan ‘Man of The Match’ tetapi ia adalah untuk semua pemain Harimau Malaya,” jelasnya sebaik sahaja tamat perlawanan.

Selain itu, pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe memuji prestasi dan komitmen pemainnya atas kejayaan mendapat tiga mata dalam perlawanan penting ini.
“Ia tentunya perlawanan yang sukar dan pemain berusaha bermatian bagi mengelakkan Thailand menjaringkan gol sehingga ke saat pengadil meniupkan wisel penamat,” jelasnya.
Berakhirnya perlawanan ini menyaksikan Malaysia menamatkan kempen kelayakan dalam kumpulan di tempat ketiga dengan 12 mata, di belakang Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mengumpul 18 mata, manakala Vietnam di tangga kedua (17 mata).
Manakala Thailand di tangga ketiga (9 mata) dan Indonesia hanya meraih satu mata di tempat terakhir kumpulan.





Add Comment