Oleh: JJFIRDAUS
NAMA Arif Aiman Mohd Hanapi menjadi tumpuan selepas ketua jurulatih negara Tan Cheng Hoe meletakkan namanya bagi persaingan baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Pemain sayap muda Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mendapat kepercayaan Benjamin Mora dan dia sangat menyerlah di dalam kancah Liga Super hinggakan Safawi Rasid perlu bekerja keras untuk mendapatkan semula posisi kegemaran beliau itu.
Menyertai JDT IV pada tahun 2019, Arif Aiman menunjukkan potensi sebagai pemain yang berkualiti dan dengan cepat dia dinaikkan pangkat ke JDT III pada tahun yang sama sebelum sekali lagi dinaikan pangkat kini ke skuad pembangunan JDT II.
Aksi cemerlangnya di JDT II mendapat perhatian barisan kejurulatihan skuad utama JDT dan dia mula dipanggil berlatih bersama-sama dan akhirnya dibawa bersama ke Dubai untuk sesi pra-musim 2020.
Seorang pemain yang lincah dan tidak menunjukkan rasa takut ketika beraksi menambat hati Benjamin Mora dan akhirnya dia melakukan debut bersama JDT dalam perlawanan Liga Super menentang Felda United. Aksi luar biasa Arif Aiman walaupun masuk hanya 10 minit menjanjikan masa depan gemilangnya bersama JDT.
Musim 2021 menyaksikan kecederaan yang melanda beberapa pemain utama JDT memberi peluang dan ruang kepada Arif Aiman untuk menunjukkan bakat yang ada pada dirinya dan akhirnya membuktikannya dengan mendapat panggilan skuad kebangsaan.
Pencapaian gemilang karier Arif Aiman semakin baik apabila dia berjaya melakukan debut untuk skuad senior kebangsaan pada usia 19 tahun 1 bulan dan 8 hari ketika dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang Vietnam.
Pada usia 19 tahun, Arif Aiman dengan bersahaja menggelecek beberapa orang pertahanan berpengalaman Vietnam dan menunjukkan kesungguhan dalam permainan. Dia menyatakan hasil latihan intensiti tinggi di JDT banyak membantu dia menyesuaikan diri.
Cerita gemilang ini tidak berakhir di situ sahaja apabila tiga hari kemudiannya, dia memulakan perlawanan ketika menentang Thailand. Dia hanya memerlukan satu perlawanan antarabangsa sahaja untuk menarik perhatian Tan Cheng Hoe dan ini adalah keistimewaan yang ada pada pemain remaja ini.
Rata-rata penyokong berpuas hati dengan persembahan dia dan mendapat sokongan padu dari netizen. Kini cabaran anak muda ini tertumpu pula kepada pertandingan tertinggi kelab Asia, Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Pada usia 19 tahun, Arif Aiman sudah mempunyai dua cap kebangsaan dan kini bakal menjual diri nya kepada pencari bakat Asia dengan aksi bertenaga dia sekiranya diturunkan JDT dalam perlawanan ACL.
Selamat maju jaya Arif Aiman.
Add Comment