EURO 2020

Gol sendiri Jerman hadiah tiga mata untuk Perancis

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

DUA gergasi bola sepak Eropah, Jerman dan Perancis bertarung sengit dalam pertemuan klasik Kumpulan F UEFA Euro 2020 yang berkesudahan dengan keputusan 1-0 berpihak kepada Perancis.

Pertembungan kumpulan maut di Munich itu memperlihatkan bagaimana kedua-dua pasukan memburu tiga mata penuh dalam persembahan yang cukup berkualiti.

Jerman mengawal perlawanan sebelum juara dunia, Perancis memecah kebuntuan hasil jaringan sendiri pertahanan Jerman, Matt Hummels yang tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-20.

Berpunca dari lontaran ke dalam, Paul Pogba bijak mencari Lucas Hernandez yang tidak dikawal sebelum melorongkan bola kepada Kylian Mbappe tetapi terkena Hummels yang cuba menghalang.

Tersentak dengan gol itu, Jerman cuba bangkit dan hampir menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi tandukan Thomas Mueller tetapi percubaannya sekadar melintasi gawang Perancis dan keputusan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan Perancis mula mengancam dengan Mbappe yang sering mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Jerman dengan larian pantasnya.

Pada minit ke-50 Perancis hampir menggandakan kedudukan apabila percubaan Adrien Rabiot terkena tiang dikala Manuel Neuer sudah tertewas manakala percubaan penyerang Jerman, Snarge Gnabry pada minit ke-53 juga gagal menggegarkan jaring untuk menyamakan kedudukan.

Pemain sensasi Perancis, Kylian Mbappe berjaya menggegarkan jaring dengan gol yang cantik pada minit ke-67 tetapi telah dibatalkan oleh pengadil akibat ofsaid.

Jerman melakukan serangan bertubi-tubi untuk mencari gol penyamaan dan sekali lagi dikejutkan dengan serangan balas Perancis yang menyaksikan Karim Benzema berjaya menjaringkan gol tetapi sekali lagi dibatalkan kerana ofsaid.

Tuah nampaknya berpihak kepada Perancis untuk keputusan akhir kekal 1-0 sekaligus menjadikan kedudukan Kumpulan F begitu sengit dengan kini Portugal dan Perancis berkongsi tiga mata manakala Jerman dan Hungary masih tanpa sebarang mata.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: