
PASUKAN Colombia memulakan aksi mereka di kejohanan Copa America 2021 dengan kemenangan 1-0 atas Equador di Pantanal Arena, Cuiaba, Brazil pagi Isnin.
Gol Edwin Cardona pada minit ke-41 permainan sudah cukul buat Colombia mencatat tiga mata berharga untuk satu lagi aksi Kumpulan B.
Perlawanan ini berlangsung cukup seimbang dengan Colombia menciptakan lima peluang, dua diantaranya tepat ke sasaran manakala Equador pula dengan lapan percubaan dengan dua percubaan tepat.
Peluang pertama permainan dicipta oleh Equador pada minit ke-4 menerusi tendangan Michael Estrada dari luar kotak penalti namun tidak menguji penjaga gawang Colombia, David Ospina.

Hinggalah pada minit ke-38 barulah Colombia dilihat mula mengancam kubu Equador menerusi sepakan bebas Edwin Cardona yang menemui Yerry Mina di dalam kotak penalti, namun sayangnya masih belum menemui sasaran.
Empat minit berselang, Colombia membuka tirai jaringan menerusi Edwin Cardona. Bermula dari tendangan bebas Juan Cuadrado di luar kotak penalti, Miguel Borja bijak mengumpan kepada Cardona yang menolak masuk ke kanan gawang untuk menjadikan kedudukan 1-0 hingga tamat babak pertama.
Equador bermain lebih baik pada babak kedua, tetapi peluang hanya hadir pada minit ke-52. Sepakan jarak jauh Fidel Martinez dari sudut sempit sempat diselamatkan Ospina.
Equador terus mencuba mencari gol penyamaan dan mencipta tiga peluang, tetapi ketiga-tiga percubaan masih belum membuahkan hasil.
Kedudukan 1-0 kekal hingga wisel penamat dan dengan keputusan ini, Colombia kini dibelakang Brazil dibezakan dengan jumlah jaringan sahaja. Seterusnya Colombia bakal berhadapan Venezuela.





Add Comment