Antarabangsa

Copa Amerika: Brazil mula langkah kanan


Image
Neymar muncul salah seorang pencetak gol untuk Brazil.

TUAN rumah dan juga pilihan kejohanan, Brazil bermula dengan langkah kanan apabila berjaya memenangi perlawanan pembukaan Kumpulan B Copa America 2021 dengan menewaskan Venezuela 3-0 dalam aksi di Brasilia.

Brazil turun dengan barisan terbaik termasuk Neymar, Allison dan Richarlison mempamerkan aksi cemerlang dengan Venezuela dilihat bergelut untuk menyaingi penyandang juara tersebut.

Separuh masa pertama menyaksikan Brazil menguasai perlawanan dengan banyak kali membuat percubaan berbahaya ke gawang lawan tetapi dihampakan penyudah yang kurang tajam.

Brazil memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-22 apabila Marquinhos bijak menguis bola masuk akibat dr keadaan kelam kabut di dalam petak penalti hasil sepakan sudut yang diambil oleh Neymar.

Lima minit kemudian, Richarlison berjaya menggegarkan jaring untuk jaringan kedua Brazil bagaimanapun beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid untuk keputusan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Babak kedua terus menyaksikan anak buah Tite mengawal perlawanan dan akhirnya berjaya menambah dua lagi gol untuk kemenangan mudah dan bergaya.

Neymar menjadikan kedudukan 2-0 apabila mudah menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-62 apabila Danilo dijatuhkan oleh Yohan Cumana sekaligus melebarkan jurang jaringan buat Brazil.

Di akhir babak perlawanan Neymar sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Venezuela apabila larian solo beliau cuba dihalang penjaga gol tetapi Neymar tenang mengumpan kepada Gabriel Barbosa untuk menjaringkan gol ketiga Brazil di minit ke-88.

Kemenangan ini memberikan Brazil tiga mata pertama dan menjadi pembakar semangat buat mereka untuk mempertahankan kejuaraan. Perlawanan seterusnya bakal menyaksikan Brazil bertemu Peru pada 17 Jun di Rio De Janiero.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: