EURO 2020

Belanda nafikan kebangkitan Ukraine gol lewat permainan


Image
Dumfries dinamakan Pemain Terbaik Perlawanan.

BELANDA mencatatkan kemenangan pada perlawanan pembukaan Kumpulan C selepas menewaskan Ukraine 3-2 dalam pertemuan yang cukup dramatik di Johan Cruijff Arena pagi tadi.

Denzel Dumfries muncul wira pasukan apabila jaringan beliau pada minit ke-85 memberikan kemenangan setelah Ukraine bangkit menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 0-2.

Dua jaringan pada awal babak kedua daripada pemain baharu PSG, Giorginio Wijnaldum dan penyerang Wolfsburg, Wout Weghorst dilihat seakan berjaya memberikan kemenangan buat skuad The Oranje tetapi Ukraine memberikan tentangan hebat.

Turun dengan jersi oren kebanggaan, Belanda yang bermain di hadapan penyokong sendiri begitu bersemangat melancarkan serangan bertubi-tubi ke pintu gol Ukraine bagaimanapun penjaga gawang, Georgiy Bushchan cemerlang menidakkan beberapa peluang keemasan.

Ukraine juga dilihat garang menyusun serangan tetapi anak-anak buah Andriy Shevchenko ini dihampakan dengan penyudah yang sangat mengecewakan sehingga tamat babak pertama dengan kedudukan kekal 0-0.

Babak kedua kembali menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan dan akhirnya Belanda berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan Wijnaldum pada minit ke-52.

Menerusi hantaran lintang oleh Denzel Dumfries yang hanya ditampan lemah oleh Bushchan, Wijnaldum berada di kedudukan terbaik untuk meletakkan bola di dalam jaring dan memberikan kelebihan awal kepada Belanda.

Berselang tujuh minit, Belanda semakin selesa apabila Weghorst berjaya meledak jaringan dari jarak dekat yang juga berpunca dari hasil kerja keras Dumfries.

Ketika Belanda dilihat selesa, perlawanan bertukar menjadi dramatik pada minit ke-72 apabila Ukraine berjaya merapatkan jurang jaringan menerusi gol lencongan cantik oleh Andriy Yarmalenko.

Gol itu menjadi pembakar semangat buat pemain Ukraine dan akhirnya empat minit kemudiannya, mereka berjaya menyamakan kedudukan apabila Roman Yaremchuk berjaya menanduk masuk hantaran cantik yang bermula dari sepakan bebas.

Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, Belanda kembali mengatur gerak dan kembali mendahului pada minit ke-85 hasil tandukan tajam Dumfries yang menyambut baik hantaran lintang pemain gantian Nathan Ake.

Kelegaan jelas terpancar pada wajah para pemain Belanda manakala pemain Ukraine dilihat sangat kecewa kerana kebangkitan mereka untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata disekat.

Menerusi kemenangan ini Belanda kini menduduki tangga kedua dibelakang Austria. Manakala Ukraine bakal berhadapan tugas berat dalam baki dua perlawanan kumpulan untuk layak ke pusingan seterusnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: