Permotoran

Syarifuddin tawan Litar Catalunya juara Moto3

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Syarifuddin muncul juara Moto3 di Sepanyol.

PELUMBA muda negara Syarifuddin Azman melakukan kejutan apabila muncul juara perlumbaan pertama kelas Moto3 Kejuaraan Motosikal FIM CEV Repsol di Litar Catalunya, Barcelona hari ini.

Pelumba berusia 19 tahun itu menamatkan perlumbaan dramatik 16 pusingan sejauh 74.5km itu dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat sekaligus bergelar juara buat kali pertama musim ini.

Pelumba pasukan SIC Racing dengan enjin Honda itu melakukan tunggangan hebat pada pusingan terakhir sebelum kesilapan kelompok hadapan menghadiahkan podium dan kemenangan bergaya kepada Syarifuddin.

Memulakan perlumbaan di tangga ke-10, Syarifuddin sentiasa memastikan berada dalam kelompok hadapan sebelum berjaya meloloskan diri pada selekoh ke-10 untuk mendahului sehingga garisan penamat dengan hanya dipisahkan 0.162 saat dan 0.272 saat sahaja dengan pelumba di tempat kedua dan ketiga.

Syarifuddin melakukan sujud syukur di Parc Ferme sebelum kelihatan terharu ketika lagu Negaraku berkumandang di bumi Barcelona. Turut mengiringinya di podium adalah dua pelumba Sepanyol David Munoz dan Jose Rueda.

Menerusi kemenangan ini Syarifuddin melonjak ke tangga keenam keseluruhan pelumba dengan 31 mata ketinggalan 57 mata di belakang pendahulu, Daniel Holgado juga dari Sepanyol.

Perlumbaan seterusnya akan berlangsung di Litar Algarve, Portugal pada 4 Julai 2021.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: