Bola Sepak

Nazrulerwan ganti Akira , tapi kenapa ?

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Nazrulerwan Makmor (kanan) dijangka kembali membimbing KUFC. (Foto : FB KUFC)

Oleh : Farizal Yusoff

KELANTAN United FC (KUFC) bakal melakukan “kejutan drastik” dalam rombakan barisan kejurulatihan apabila kelibat pengendalinya, Akira Higashiyama sudah tidak kelihatan sepanjang latihan pusat di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sejak kelmarin.

Berdasarkan sumber, difahamkan Akira akan diberi tanggungjawab baharu sebagai Pengarah Teknikal kelab tersebut sehingga berakhirnya saingan Liga Malaysia musim ini manakala tempatnya akan diisi oleh Nazrulerwan Makmor.

“Benar, Akira tidak lagi mengendali Kelantan United FC dan tempatnya kini diambil alih Nazrulerwan untuk mengemudi pasukan sehingga akhir musim ini.

“Pengurusan membuat sedikit rombakan di barisan kejurulatihan selepas menilai prestasi keseluruhan pasukan. Ini (pertukaran jurulatih) adalah normal dalam bola sepak, di bahagian pemain pun mereka (kelab) ada buat perubahan,” ujar sumber berkenaan.

Sementara itu, Akira yang dihubungi enggan mengulas lanjut berkaitan isu tersebut (pertukaran jawatan) sebaliknya menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk menentukan masa depannya.

Untuk rekod, sepanjang membimbing Kelantan United FC dalam 11 perlawanan lalu, Akira meletakkan kelab itu berada di kedudukan kelima dalam kempen Liga Perdana  dengan memungut 16 mata hasil lima kemenangan, sekali seri dan lima kali tewas.

Skuad Kijang Hijau ini memulakan latihan secara ‘camp based training’ bermula 8 Jun lalu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat setelah mendapat lampu hijau daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Kelab itu turut membawa masuk empat pemain baharu iaitu penyerang Penang FC, Zafuan Azeman menerusi perpindahan tetap selain dua pemain Sabah FC iaitu Even Wensley dan Arius Dius Jais serta Shafizi Iqmal Khirudin (Selangor FC II) yang hadir dengan status pinjaman.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: