
PENDATANG baharu UEFA Euro 2020, Finland membuktikan kehadiran mereka di kejohanan ini bukanlah sekadar pelengkap apabila mengejutkan Denmark 1-0 di Copenhagen.
Jaringan tunggal Joel Pohjanpalo pada minit ke-60 dan aksi cemerlang penjaga gawang, Lukas Hradecky cukup untuk memberikan Finland kemenangan sulung mereka di kejohanan antarabangsa.
Perlawanan tertangguh hampir dua jam akibat dari insiden ngeri yang melibatkan pemain Denmark, Christian Eriksen yang tiba-tiba rebah di hujung babak pertama. Eriksen dikejarkan ke hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Atas pemintaan kedua-dua pasukan, perlawanan diteruskan semula dan menyaksikan Denmark menguasai hampir keseluruhan perlawanan tetapi sering dihampakan ketangkasan Hradecky.
Bersambung babak kedua, Denmark selaku tuan rumah melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu lawan namun barisan pertahanan Finland teguh bertahan dengan sesekali melancarkan serangan balas.
Percubaan pertama Finland hadir pada minit ke-60 dan terus membuahkan hasil apabila Pohjanpalo menanduk masuk hantaran cantik Jere Uronen melepasi kawalan Kasper Schmeichel.
Denmark berpeluang menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Paulus Arajuuri menjatuhkan Yussof Paulsen dalam petak penalti hasil semakan menerusi video bantuan pengadil (VAR).
Namun begitu, sepakan lemah Pierre Emile Hojbjerg berjaya diselamatkan Hradecky. Denmark terdesak mencari gol penyamaan tetapi gagal sekaligus keputusan 1-0 kekal hingga wisel penamat.
Ini adalah kemenangan yang penting buat Finland manakala Denmark perlu bekerja keras untuk baki dua perlawanan selepas ini bertemu Russia dan pilihan kejohanan, Belgium.





Add Comment