Bola Sepak

Reezal tabik aksi pemain Harimau Malaya


Syafiq Ahmad cuba menyekat pergerakan pemain lawan pada aksi yang berkesudahan kemenangan Vietnam 2-1 ke atas Malaysia.

Oleh : Subkhi Sudarji

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mahu Harimau Malaya terus fokus pada aksi terakhir menentang Thailand, 16 Jun nanti.

“Syabas Harimau Malaya! Aksi malam ini membuktikan semangat perjuangan anda semua masih kuat dan tersemat di dada. Usaha yang cukup baik, namun nasib tidak menyebelahi pasukan kita.

Jangan putus asa! Terus usaha dengan lebih fokus dan tenaga untuk cabaran yang seterusnya – wajib menang pada 16 Jun menentang pasukan Thailand.
“Masih ada peluang untuk ambil tempat di Top 3. Misi anda masih belum tamat – Demi Negara, Demi Malaysia,” ujarnya memuat naik komen menerusi laman rasmi FB miliknya selepas perlawanan berakhir.
Pada aksi yang berlangsung awal pagi tadi, Malaysia terus ‘dihantui’ badi Vietnam selepas tumbang 1-2 pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Al-Maktoum, Dubai.
Skuad Naga Emas terlebih dahulu mengegarkan gawang pada minit ke-27 hasil tandukan Nguyen Tien Linh sebelum Harimau Malaya menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti yang disempurnakan Guilherme De Paula pada minit ke-72.
Kegembiraan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu tidak bertahan lama apabila, Vietnam memperolehi sepakan penalti pada minit ke 80 yang disempurnakan Que Ngoc Hai untuk gol kemenangan Vietnam yang terus gah selaku pendahulu Kumpulan G.

Keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya terus kempunan untuk mencipta kejutan ke atas skuad di ranking ke-92 dunia itu dalam enam perlawanan dengan kali terakhir mereka menewaskan Vietnam adalah pada 2014.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading