Bola Sepak

Darren impikan kembali bersama Harimau Malaya


Darren Lok antara penjaring utama PJFC sebelum diketepikan ekoran kecederaan dialaminya. (Foto : FB PJFC)

SELEPAS kali terakhir menyarung jersi Harimau Malaya pada 2017, penyerang warisan Petaling Jaya City (PJ City), Darren Lok menanam cita-cita untuk kembali bersama skuad kebangsaan.

Berjaya mencetak satu gol dalam sembilan penampilan bersama Harimau Malaya, Darren mengakui masih mahu menyumbang buat pasukan negara yang ketika ini sedang ‘bertempur’ di pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Semua orang tahu saya pernah mendapat tempat dengan pasukan kebangsaan pada beberapa tahun lalu dan impian itu masih kekal sebagai salah harapan besar saya di masa akan datang.

“Biarpun tidak lagi terpilih buat masa ini, saya tetap mengharapkan kejayaan skuad negara dalam tiap perlawanan yang mereka lalui dan diharapkan mereka mampu meraih kemenangan ke atas Vietnam pada pagi Sabtu ini,” kata pemain kacukan England-Malaysia itu.

Mengulas kecederaan yang dialaminya menyebabkan terpaksa disisihkan hampir dua bulan bersama skuad PJFC, Darren yang meledak tiga gol dalam tiga perlawanan pertama Liga Super memaklumkan pemulihan nampaknya lebih lama daripada dijangka selain terdapat beberapa kecederaan susulan.

“Saya kini sedang cuba berusaha kembali ke padang latihan sebelum Liga Super bersambung dan tempoh rehat yang lama ini sememangnya satu kesempatan buat diri saya agar tidak perlu tergesa-gesa untuk pulih.

“Memang saya terasa sedikit sedih dan sukar untuk diterima kerana selepas bermain baik pada awal musim serta peluang untuk bermain, saya mendapat kecederaan yang bukan disebabkan kesalahan daripada diri sendiri sebaliknya daripada kekasaran pemain lain.

“Namun ini adalah asam garam bola sepak dan saya kena bangkit daripada apa yang berlaku, harap saya mampu kembali bantu pasukan bagi harungi baki saingan Liga Super,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d