Bola Sepak

Berjuanglah sepenuh hati, Demi lencana didada

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Brendan Gan pastinya akan memimpin dibarisan tengah selepas tidak beraksi menentang UAE, ekoran penggantungan satu perlawanan .

Oleh : Subkhi Sudarji

BERJUANGLAH demi lencana didada, itulah harapan dan doa seluruh rakyat Malaysia buat barisan pemain Harimau Malaya yang bakal turun beraksi menentang Vietnam di Stadium Al-Maktoum, Dubai, awal pagi esok.

Mahu atau tidak hanya kemenangan yang akan mencerahkan laluan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe untuk terus ke pusingan seterusnya ketika Vietnam ketika ini tidaklah terlalu tertekan selepas mereka meraih 14 mata dan memimpin Kumpulan G berbanding Malaysia ditangga keempat dengan sembilan mata.

AKSI DI ATAS PADANG JADI BUALAN

Memetik kata-kata semangat dari Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini, menang dan kalah itu adalah adat dalam pertandingan namun persembahan tetap akan menjadi bualan peminat.

“Walaupun Harimau Malaya tewas di tangan pasukan lawan, peminat sudah semestinya akan berasa puas dan memberi pujian terhadap skuad kebangsaan sekiranya mereka mempamerkan corak permainan menarik.

“Aksi Harimau Malaya pastinya menjadi perbualan peminat, ada kalanya kalah namun aksi ditampilkan menjadi sanjungan tetapi ada juga situasi di mana pasukan tewas tetapi aksi itu tidak sampai ke tahap yang mereka ingin lihat.

Melihat kepada prestasi semasa pasukan lawan yang mendapat jolokan ‘Naga Emas’ itu yang kini berada di ranking ke-92 dunia ia bukanlah tugas mudah jika dilihatkan keputusan tanpa kalah yang diraih skuad bimbingan Park Hang-Seo itu.
Cheng Hoe tenang menjawab soalan media menjelang aksi getir menentang Vietnam awal pagi esok.
ENGGAN BERI TEKANAN
Namun bagi Cheng Hoe dia enggan memberi tekanan kepada pemainnya apabila menyifatkan perlawanan itu bukanlah penentu hidup mati untuk skuad kebangsaan dan menegaskan pemainnya tetap tahu betapa pentingnya aksi bertemu pasukan yang digelar Naga Emas itu.

“Setiap perlawanan sangat penting, apatah lagi kita gagal meraih keputusan positif ke atas Vietnam sebelum ini. Saya tak pernah katakan perlawanan ini adalah misi hidup atau mati kerana saya tahu pemain tetap bermotivasi tinggi.

“Mereka juga faham mengenai situasi di mana kita perlukan keputusan yang positif menentang pasukan yang sedang berada dalam prestasi terbaik. Saya tahu semua pemain ada impian untuk lakukan yang terbaik pada kempen Piala Dunia kali ini,” katanya.

MASA TERBAIK BUKTIKAN KEMAMPUAN

Vietnam tidak akan menurunkan Nguyen Quang Hai yang digantung satu perlawanan dan pada masa sama dijangka pemain tengah, Nguyen Tuan Anh dan penyerang, Van Toan juga diketepikan ekoran kecederaan.

Untuk rekod pertemuan, kali terakhir skuad negara membenam Vietnam 4-2 di Piala AFF pada 11 Disember 2014 ketika itu Malaysia dibimbing Dollah Salleh dengan lima aksi selepas itu menyaksikan skuad negara tumbang empat kali dan seri sekali.

Mungkinkah ini masa terbaik buat Harimau Malaya kembali mempamerkan taring dan mencalarkan rekod tanpa kalah Vietnam.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: