
PERISTIWA dibelasah tanpa belas kasihan dengan keputusan 4-0 pasukan Harimau Malaya di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal pagi Jumaat lalu mungkin ingin segera dilupakan para pemain, jurulatih dan juga penyokong Malaysia.
Cakap Sukan pun enggan mengulas secara berlebih-lebihan kerana perlawanan itu pun dah muktamad dan dah dimasukkan dalam arkib sejarah Fifa.
Kalian bayangkan, ketika dekad 1970-an dan 1980-an, bola sepak Jepun pun bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.
Sebaliknya, menurut pandangan jurulatih profesional negara, Raja Isa Raja Akram Shah, sebaliknya bola sepak Malaysia ketika itu berada dalam zaman emas yang cukup membanggakan.
“Kita ada Allahyarham Mokhtar Dahari yang digelar Supermokh.Walaupun tidak layak ke Piala Dunia , kita layak ke Sukan Olimpik 1972 dan 1980.
“Kemunculan watak manga bernama Captain Tsubasa pada tahun 1981 telah mengubah landskap bola sepak negara matahari terbit itu. Captain Tsubasa adalah Siri manga yang menemani kanak-kanak Jepun dekad 1980-an hingga kini dalam proses pembesaran mereka.
“Mana-mana buku buku manga atau komik yang popular pasti menjadi kitab kanak-kanak. Dan watak hero dalam manga atau komik itu pula pastinya menjadi idola. Masing-masing menanam impian menjadi Captain Tsubasa satu hari nanti,” katanya ketika dipetik menerusi akaun Facebook.

Cerita Raja Isa lagi, plot cerita Captain Tsubasa ini berlaku ketika zaman gelap bola sepak Jepun. Ia mengisahkan kononnya Captain Tsubasa dan rakan-rakan mewakili Jepun dalam kejohanan bola sepak peringkat Dunia.
Captain Tsubasa mengajak pembacanya bermimpi tentang kejayaan bola sepak Jepun di pentas antarabangsa.
“Dalam penghujung dekad yang sama juga, Japan Football Association (JFA) memutuskan untuk mewujudkan sebuah liga bola sepak profesional di Jepun. Delegasi JFA dihantar ke luar negara untuk mempelajari model liga profesional negara lain.
“Antara negara yang dikunjungi mereka ialah MALAYSIA yang mempunyai salah satu liga bola sepak paling berjaya di Asia ketika itu.
“JFA yang rajin belajar dan tekun berusaha akhirnya berjaya menubuhkan liga profesional mereka sendiri yang dinamakan J-League. Musim pertama J-League ialah pada tahun 1993 dan secara automatik bola sepak Jepun bertukar dari status amatur ke profesional,” ujarnya.
Ada kebenaran dan ia bukan satu kisah dongeng kerana dalam tempoh lima tahun sejak J-League dimulakan, Jepun merealisasikan apa yang mereka impikan dalam komik manga Captain Tsubasa.
“Jepun adalah antara 32 negara yang hadir di Perancis pada tahun 1998 untuk Piala Dunia. Malah, Piala Dunia 2010 adalah yang ke-4 buat negara matahari terbit ini.
“Pencapaian terbaik mereka ialah dalam Piala Dunia 2002 ketika bergelar tuan rumah bersama Korea Selatan. Untuk Piala Dunia 2010, mereka berjaya mencipta sejarah dengan mencatat kemenangan pertama di luar negara sendiri !

Untuk rekod, Keisuke Honda muncul wira Jepun dengan gol tunggal beliau yang menundukkan Cameroon. Honda berumur 24 tahun. Ada kemungkinan beliau pernah membesar dengan mentelaah manga Captain Tsubasa.
Sebelum menutup bicara, jurulatih yang membimbing kelab Liga Bangladesh, Muktijoddha Sangsad KC ini percaya tiada yang mustahil buat bola sepak Malaysia.
“Sebagaimana Jepun bermula dari zaman gelap hingga ke Piala Dunia. Tiada yang mustahil buat bola sepak Malaysia,” katanya pernah mengendalikan UiTM FC.







Add Comment