Komentar

Perjuangan 90 minit Harimau Malaya jadi penentuan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Nukilan MOHD FARIQ

AWAL pagi esok satu berlakulah satu perlawanan yang menjadi penentuan.

Awal pagi esok juga kita semua bakal menyaksikan satu perjuangan berkobar sepanjang tempoh 90 minit.

Dan awal pagi esok juga adakah harapan kita semua untuk menyaksikan kejayaan pasukan kebangsaan bakal tercapai atau sebaliknya.

Inilah momen yang ditunggu-tunggu penyokong bola sepak negara menjelang aksi penting skuad Harimau Malaya menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Zabeel, Dubai pada Khamis, 3 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia).

Atas kertas, UAE dilihat lebih ampuh berbanding skuad Harimau Malaya sebagaimana pasukan bimbingan Bert van Marwijk mempamerkan prestasi positif dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini di mana mereka mudah menjinakkan Jordan 5-1 pada 25 Mei lalu.

Jika dibanding prestasi skuad kendalian Tan Cheng Hoe pula berbeza skripnya.

Pasukan negara tewas dua perlawanan iaitu Kuwait dan Bahrain sekali gus mencetuskan sedikit rasa panik penyokong-penyokong bola sepak tempatan ketika berkunjung ke Stadium Zabeel dalam misi melayakkan diri ke Piala Asia 2023 secara automatik.

Namun penulis percaya awal pagi esok aura Harimau Malaya akan tampil kelainan berbanding dua perlawanan sebelum ini.

Kadang-kadang kita harus berlaku adil kepada Cheng Hoe untuk persiapkan pasukan di mana selama 562 hari Harimau Malaya tidak beraksi sebelum ini sebagaimana kali terakhir mereka bermain di pentas antarabangsa ketika menewaskan Indonesia 2-0, dua tahun lalu.

Ini kerana naluri penulis kuat mengatakan pasukan kebangsaan akan bermain mati-matian untuk mencatatkan keputusan positif ketika berdepan UAE.

KEMENANGAN HARIMAU MALAYA BAKAL JADI TONIK TERBAIK UBATI KESEDIHAN RAKYAT DALAM PANDEMIK COVID-19

Seperti penulis katakan sebelum ini di mana pasukan dimiliki Cheng Hoe sekarang antara salah satu skuad yang dimiliki oleh negara, barisan pemain Harimau Malaya tiada lain dan tiada bukan sedang bernafsu untuk memburu kejayaan.

Penulis cukup yakin bahawa Cheng Hoe menuntut barisan pemainnya agar melakarkan kejutan kepada pasukan Arab itu dalam misi mengharumkan nama negara.

Penulis percaya bahawa kejayaan pasukan kebangsaan sedikit sebanyak dapat mengubati kekecewaan dan kesedihan rakyat Malaysia yang sedang bergelut menempuhi pandemik Covid-19 yang saban hari meragut nyawa manusia.

Inilah keindahan bola sepak. Sudah pasti kejayaan menewaskan UAE dianggap bakal menjadi tonik terbaik kepada rakyat Malaysia dan sudah pasti kita sebagai penyokong mahu melihat Harimau Malaya mengaum di pentas antarabangsa.

Lupakan kekalahan dalam siri perlawanan persahabatan.

Lupakan kekalahan 0-10 di tangan UAE kira-kira tujuh tahun lalu. Dan hapuskan sahaja rasa terlalu hormat kepada mereka sepanjang 90 minit perlawanan.

Tunjukkan kepada mereka siapa sebenar Harimau Malaya zaman kini. Ini kerana kita semua mahu menyaksikan Harimau Malaya lebih agresif dan buktikan kita bukan lagi pasukan belasahan.

Lebih penting, apa juga yang berlaku pada awal pagi esok seluruh rakyat Malaysia sentiasa mendukung perjuangan skuad Harimau Malaya.

Akhir kata daripada penulis;

**Tumbuh melata buah bidara,
Di dalam acuan berbagai warna,
Elakkan sengketa demi negara,
Barulah perpaduan dibina.**

Ayuh Harimau Malaya, terus mengaum demi rakyatmu.

DEMI LENCANA DI DADA!

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: