GANDINGAN Pantai Timur, Wan Arif Junaidi-Haikal Nazri mengesahkan tiket ke final beregu lelaki kejohanan badminton Terbuka Austria, petang ini waktu Malaysia.
Malaysia turut meletakkan wakil dalam final beregu wanita dan beregu campuran, masing-masing menerusi Anna Cheong-Yap Cheng Wen dan Choong Hon Jian-Toh Ee Wei.
Wan Arif-Haikal, masing-masing dari Terengganu dan Kelantan, hanya mengambil masa 37 minit untuk menyingkirkan Mads Pieler Kolding-Frederik Sogaard dari Denmark 21-13, 22-20 dalam aksi separuh akhir mereka.
Kemaraan ke final malam ini, turut memberi peluang kepada Wan Arif mencari hadiah awal untuk harijadinya yang ke-19, Ahad depan.
Ia turut sedikit sebanyak menutup kekecewaan gandingan itu yang tidak dapat beraksi di Kejohanan Remaja Dunia tahun lalu yang dibatalkan akibat pandemik Covid 19, di mana mereka disandar membawa pulang gelaran.
Di final nanti, Wan Arif-Haikal akan menentang pasangan Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar yang mara selepas menundukkan Daniel Hess-Johannes Pistorius dari Jerman 21-11, 21-10 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Gandingan Anna-Cheng Wen pula mara selepas memilih jalan sukar bermain dalam tiga set sebelum menang 21-11, 17-21, 21-11 ke atas pasangan Sepanyol, Clara Azurmendi-Beatriz Corrales di separuh akhir.
Mereka kini akan berdepan gandingan Indonesia, Ni Ketut Mahadewi Istarani-Serena Kani yang menang ke atas pilihan keempat, Aline Mueller-Jenjira Stadelmann dari Switzerland 21-12, 21-10.
Hon Jian-Ee Wei yang layak ke final ketiga dalam tiga penampilan mereka sejak digandingkan pertengahan Februari lalu, mara selepas menundukkan rakan sepasukan,Beh Chun Meng-Cheng Su Hui 21-16, 19-21, 21-13.
Di final, mereka akan berdepan pemenang perlawanan antara pilihan utama, William Villeger-Sharone Bauer dari Perancis dan wakil Denmark, Emil Hybel, Elisa Melgaard.
Add Comment