Bola Sepak Terkini

Janji Cheng Hoe buat peminat Harimau Malaya


Dua aksi persahabatan bakal dinilai Cheng Hoe untuk membentuk pasukan terbaik.

Oleh : Subkhi Sudarji

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi jaminan akan menurunkan 25 pemain dalam dua perlawanan persahabatan menentang Kuwait malam ini dan Bahrain Jumaat depan.

Tegasnya, pastinya dua aksi persahabatan akan dinilai secara menyeluruh sebelum membuat pemilihan kesebelasan utama untuk mementang UAE pada 3 Jun nanti.

“Semua pemain kini berada dalam prestasi yang memuaskan, mereka akan dapat peluang diturunkan beraksi pada perlawanan persahabatan kali ini.

“Kami akan melihat sejauhmana tahap pemikiran pemain diatas padang, kombinasi dan beraksi sebagai satu pasukan,” jelasnya.

Ujarnya lagi, selepas 18 bulan tidak beraksi dipentas antarabangsa pastinya ia memerlukan masa untuk pemain kembali serasi sebagai satu pasukan.

“Bukan sekelip mata dapat keserasian. Apa yang diharapkan dua perlawanan ini akan memberi perkembangan positif dalam skuad kebangsaan untuk menghadapi baki saingan peringkat kumpulan,” katanya.

Barisan pemain Harimau Malaya yang dihimpunkan kali ini dianggap barisan pemain terbaik dengan himpunan beberapa pemain naturalisasi, kacukan dan pemain yang berkelana diluar negara selain prestasi pemain tempatan yang tidak mengecewakan dalam saingan Liga Malaysia 2021.

Tumpuan sudah pastinya terarah kepada Guilherme de Paula yang merupakan pemain naturalisasi kedua menggalas jentera serangan selain penyerang muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsuddin serta peledak berpengalaman NorShahrul Idlan Talaha yang masih mendapat tempat dalam skuad kebangsaan.

 


Add Comment

Click here to post a comment