Antarabangsa Badminton Semasa Terkini

Hon Jian-Ee Wei ke final beregu campuran

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

 

Ee Weii ketepikan kecederaan untuk meneruskan kejohanan dan meraih kemenangan.

TOH Ee Wei mengetepikan kesakitan di jari kelingking kirinya untuk bersama gandingannya, Choong Hon Jian melangkah ke final Kejohanan Antarabangsa Slovenia, hari ini.

Kemenangan 23-21, 21-17 ke atas pilihan kelapan dari Denmark-Sweden, Kristoffer Knudsen-Malena Norrman memberi ruang buat mereka mencari kejuaraan kedua selepas muncul juara di Terbuka Poland, Mac lepas.

Ia adalah final kedua dalam dua penampilan antarabangsa buat gandingan Hon Jian-Ee Wei yang baru digandingkan Februari lalu.

Namun, Ee Wei, 20, berkata dia terpaksa mengubah sedikit cara servisnya berikutan kecederaan yang dialaminya selepas terhiris jarinya ketika memotong buah, semalam.

”Memang saya risau kerana ia agak sakit semalam. Mujur ia bukan di jari kanan kerana pastinya akan lebih sukar untuk bermain.

”Namun, saya terpaksa membalut luka ini sebelum beraksi tadi dan berharap ia tidak mengganggu dalam final nanti khususnya ketika melakukan servis,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

Selepas bermula garang dengan mendahului 4-0, Hon Jian-Ee Wei kemudian membenarkan lawan menguasai permainan untuk mendahului 6-9.

Sesudah itu, aksi perlawanan agak sengit dengan kedudukan terikat 12-12, 14-14 dan 15-15, sebelum lawan mula membuka langkah untuk berada di depan dengan 15-18.

Ketika segalanya nampak sukar sebaik Knudsen-Norrman mendahului 20-17, pasangan negara bangkit menyamakan kedudukan 20-20 sebelum menamatkan set pertama dengan 23-21 dalam masa 15 minit.

Set kedua hampir menyamai skrip set pertama apabila lawan mendahului 17-15 sebelum gandingan negara memastikan tiket ke final dengan mengutip enam mata berturut-turut untuk kemenangan 21-17 dalam masa 16 minit.

Di final malam ini, mereka akan berdepan wakil Indonesia, Muh Putra Erwiansyah-Sofy Al Mushira Asharunnisa yang menewaskan Andreas Sondergaard-Marie Loiuse Steffensen dari Denmark 16-21, 21-17,23-21.

Impian perseorangan wanita negara, Siti Nurshuhaini Azman melangkah ke final tidak kesampaian apabila tunduk kepada pemain Indonesia, Mutiara Ayu Puspitasari 15-21, 17-21 di separuh akhir dalam masa 38 minit.

Nasib sama turut dialami beregu lelaki, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe yang tewas 9-21, 18-21 kepada pasangan Indonesia, Muh Putra Erwiansyah-Patra Harapan Rindorindo.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: