
PEMANDU Ferrari, Charles Leclerc ditabalkan sebagai raja sesi kelayakan pada Grand Prix Monaco apabila mencatatkan masa sepusingan terpantas sekaligus bakal memulakan perlumbaan di petak pertama di Litar Monte Carlo pada Sabtu.
Leclerc, pemandu kelahiran Monaco itu mencatat pusingan terpantas 1 minit 10.346 saat di litar jalan raya bersejarah dan berada pada kedudukan terbaik untuk menjuarai perlumbaan klasik dalam kalendar Formula 1 pada Ahad.
Bagaimanapun, kejayaan Leclerc mencatat masa terpantas ini dicemari oleh kemalangan yang melibatkan dirinya sekaligus memaksa sesi kelayakan ketiga ditamatkan lebih awal ekoran bendera merah.
Max Verstappen bakal memulakan perlumbaan di petak kedua dengan Valtteri Bottas di petak ketiga dan seorang lagi pelumba Ferrari, Carlos Sainz bermula dari petak keempat. Lando Norris di tangga kelima dan Pierre Gasly melakukan kejutan dengan melayakkan diri di tangga keenam dengan jentera Alpha Tauri.
Pendahulu kejuaraan, Lewis Hamilton dilihat bergelut untuk mencatatkan masa terpantas dengan Ferrari dan Redbull kelihatan lebih pantas dan hanya mencatat masa ketujuh terpantas — kelayakan terburuk beliau musim ini.
Juara dunia empat kali, Sebastian Vettel menggunakan segala pengalaman beliau di litar ini untuk bermula di tangga kelapan dengan Sergio Perez ditangga kesembilan dan Antonio Giovinazzi melengkapkan 10 pemandu terbaik.
Grid permulaan adalah elemen terpenting pada Grand Prix Monaco ini kerana keadaan litar jalan raya yang sempit ini memerlukan pelumba untuk sentiasa fokus dan tidak melakukan sedikit kesilapan bagi mengelak melanggar tembok keselamatan dan terkeluar.
Sesi kelayakan pertama menyaksikan juara dunia dua kali, Fernando Alonso terkeluar awal apabila sekadar meletakkan jentera Alpine beliau di tangga ke-17. Turut tersingkir adalah Yuki Tsunoda, Nicholas Latifi dan dua pemandu Haas, Nikita Mazepin dan Mick Schumacher.
Mick Schumacher langsung gagal memulakan sesi kelayakan apabila casis kereta beliau gagal disiapkan ekoran kemalangan yang dihadapi beliau ketika sesi latihan ketiga yang dijalankan pada sebelah pagi.
Kejutan pada sesi kelayakan kedua apabila pelumba McLaren, Daniel Ricciardo tersingkir dan bakal memulakan perlumbaan di tangga ke-12. Lain-lain pelumba yang turut gagal ke sesi kelayakan ketiga adalah Esteban Ocon, Lance Stroll, Kimi Raikkonen dan George Russell.
Ini adalah petak pertama Ferrari selepas Grand Prix Mexico pada 2019. Bagaimanapun, kedudukan grid permulaan Leclerc hanya akan dimuktamadkan setelah jenteranya yang rosak diperiksa bagi memastikan tiada kerosakan. Penalti lima grid akan dikenakan jika pasukan Ferrari melakukan perubahan pada kereta terutama kotak gear.
Keputusan Sesi Kelayakan Grand Prix Monaco:
1. Charles Leclerc – Ferrari
2. Max Verstappen – Redbull
3. Valtteri Bottas – Mercedes
4. Carlos Sainz – Ferrari
5. Lando Norris – McLaren
6. Pierre Gasly – Alpha Tauri
7. Lewis Hamilton – Mercedes
8. Sebastian Vettel – Aston Martin
9. Sergio Perez – Redbull
10. Antonio Giovinazzi – Alfa Romeo
11. Esteban Ocon – Alpine
12. Daniel Ricciardo – McLaren
13. Lance Stroll – Aston Martin
14. Kimi Raikkonen – Alfa Romeo
15. George Russell – Williams
16. Yuki Tsunoda – Alpha Tauri
17. Fernando Alonso – Alpine
18. Nicholas Latifi – Williams
19. Nikita Mazepin – Haas
20. Mick Schumacher – Haas





Add Comment