JURGEN Klopp memberitahu keupayaan menamatkan kedudukan di tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini akan menjadi prestasi hebat untuk Liverpool.
Selepas begitu garang sehingga menjuarai liga musim lalu, Liverpool terpaksa mengharungi siri kepayahan pada musim 2020/2021 ini.
The Reds juga bermain sepanjang musim tanpa duet pemain pertahanan utamanya, Virgil van Dijk dan Joe Gomez, yang berehat panjang akibat kecederaan lutut.
Seperti diketahui, Liverpool gagal mempertahankan gelaran EPL apabila kembali dirampas Manchester City.
Kini, Mohamed Salah dan rakan-rakan sedang berjuang untuk mengakhiri empat teratas dan bergelut merebut tiket di Liga Juara-Juara musim depan.
“Besar, jelas sangat besar. Ini akan jadi salah satu pencapaian terbesar. Saya tahu kedengarannya seperti apa, tapi itu kenyataan. Semua orang di sini melihatnya seperti itu.
“Jika anda akan menulis sebuah buku tentang satu musim dan selepasnya anda ingin berasa sedih, anda mungkin akan mengambil musim ini,” ujar Klopp seperti dilapor Sky Sports.
Liverpool akan bertandang ke kubu Burnley pada awal pagi Khamis ini sebelum melengkapkan perlawanan terakhir melayan kunjungan Crystal Palace di Anfield, 23 Mei.
Add Comment